PKPB di Sabah mulai esok, tempoh dilanjutkan bagi 5 negeri lain, dan KL

PKPB di Sabah mulai esok, tempoh dilanjutkan bagi 5 negeri lain, dan KL

PKPB bagi Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak dilanjutkan sehingga 17 Mei.

Pergerakan merentas negeri masih tidak dibenarkan, kecuali bagi aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP yang lain menggunakan syarikat dan agen pelancongan yang berdaftar.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak dilanjutkan lagi sehingga 17 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini juga berkata, Sabah akan diletakkan bawah PKPB mulai esok.

Dalam pada itu, Kelantan akan kekal bawah PKP selama dua minggu lagi, sementara Perlis, Kedah (kecuali Kuala Muda yang berada bawah PKPB), Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Putrajaya dan Labuan kekal berada bawah PKP pemulihan (PKPP).

Menurut Ismail, pengekalan status PKP, PKPB dan PKPP bagi negeri-negeri ini akan berkuat kuasa mulai 29 April sehingga 17 Mei, kecuali Sarawak yang bermula esok sehingga 17 Mei.

Ismail juga mengumumkan PKP diperketatkan (PKPD) di PPR Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan PPR Batu 8 Jalan Apas di Tawau, Kompleks Abedon di Kinabatangan, dan Felda Umas di Kalabakan, Sabah.

Selain lima lokaliti di Sabah itu, SMK Ulu Balingian di Sibu, Sarawak juga akan berada bawah PKPD bermula esok sehingga 11 Mei.

Sementara itu, PKPD di Kampung Baru Pasir Putih di Tawau dilanjutkan hingga 12 Mei, manakala PKPD di Kampung Ranggu Batu 10, Fasa Dua Taman Semarak dan Kampung Tanjung Batu Keramat, juga di Tawau, akan tamat esok seperti yang dijadualkan.

PKPD di Politeknik Mukah di Sarawak juga akan tamat esok, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Dalam pada itu, pergerakan merentas negeri masih tidak dibenarkan, kecuali bagi aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP yang lain menggunakan syarikat dan agen pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Keputusan ini dibuat memandangkan status Covid-19 di seluruh negara ketika ini menunjukkan trend tidak stabil, dengan nilai R0 meningkat dan melepasi angka 1.0 sejak 20 hari yang lalu, kata Ismail.

“Pemantauan status kes Covid-19 di negeri-negeri mendapati trend penurunan di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Trend turun naik (tidak stabil) di Pahang, Labuan, Melaka, Johor, Terengganu, Pulau Pinang, Putrajaya, Sabah serta trend meningkat di Kelantan, Sarawak dan Kuala Lumpur.”

Bagaimanapun, kata beliau, pergerakan rentas daerah dibenarkan, kecuali di Sabah dan Sarawak, atas keputusan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, polis semalam menahan 282 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 277 dikompaun manakala lima direman.

Antara kesalahan terbabit adalah tidak mendaftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka, dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.