Tolak darurat? Kamu ‘jerung’, lebih rakus dari pelampau agama, kata Hadi

Tolak darurat? Kamu ‘jerung’, lebih rakus dari pelampau agama, kata Hadi

Tindakan pemimpin politik menolak darurat untuk memerangi wabak Covid-19 membahayakan lebih ramai orang dan boleh mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa berbanding pengeboman oleh pelampau agama.

Abdul Hadi Awang berkata, tindakan mereka yang menolak darurat untuk memerangi wabak Covid-19 membahayakan lebih ramai orang dan boleh mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa berbanding pengeboman oleh pelampau agama.
PETALING JAYA:
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengecam pemimpin politik yang menentang darurat sebagai “jerung” dan lebih “rakus” daripada pelampau agama, yang hanya mahu merebut kuasa untuk memenuhi agenda peribadi mereka.

Beliau berkata, tindakan mereka menolak darurat untuk memerangi wabak Covid-19 membahayakan lebih ramai orang dan boleh mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa berbanding pengeboman oleh pelampau agama.

Mereka “laksana jerung di sebalik batu. Kerakusan mereka lebih teruk daripada golongan pelampau agama yang meletupkan bom dan membunuh dengan jumlah yang jauh lebih kecil dibandingkan dengan mangsa wabak Covid-19 yang tersebar di seluruh pelusuk dunia,” katanya di Facebook.

Hadi menyifatkan tindakan pemimpin politik berkenaan sebagai “perangai politik gila” selepas hilang kuasa, dan menganggap golongan itu langsung tidak peduli terhadap kemungkinan bahaya yang mendatang.

“Puncanya ialah kerana bersikap melampaui batas dalam berpolitik sehingga menenggelamkan ekonomi dan keselamatan yang sekadar menjadi tempat berlindung segala kerakusan dalam berpolitik,” katanya.

Hadi bertegas alasan hak asasi mahupun kebebasan tidak boleh membenarkan kemudaratan, memberi amaran usaha pelampau politik itu umpama “menebuk kapal”.

“Jika yang menebuk kapal itu ialah manusia, maka ia wajib dicegah. Sebaliknya jika yang menebuk kapal itu ialah spesies jerung, maka ia perlu dihapuskan sahaja demi menyelamatkan semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.