
Beliau berkata, ini jelas ditunjukkan oleh data yang diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Data terkini KKM menunjukkan, daripada 99 kluster pendidikan, 52 melibatkan sekolah bawah kelolaan KPM dengan 2,274 kes.
“Ia adalah 4.8% daripada keseluruhan kluster atau 2.07% daripada kes kluster,” katanya, menurut laporan Bernama.
“Daripada kes itu, 1.42%, atau 1,559 kes, melibatkan sekolah berasrama dan hanya 0.53% atau 585 kes melibatkan sekolah bukan asrama.”
Justeru, Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) komited meneruskan sesi persekolahan kerana prosedur operasi standard (SOP) di sekolah diyakini dapat mengawal penularan Covid-19.
Terdahulu menurut KKM, setakat ini 60.8% kes Covid-19 di Malaysia adalah kes sporadik, dan selebihnya melibatkan kes kluster.
“Jika kita lihat 60.8% kes sporadik, dalam konteks ini, kanak-kanak terdedah (kepada Covid-19) di mana-mana saja, cumanya dalam keadaan di sekolah murid-murid berada dalam keadaan terkawal kerana SOP memang telah ditetapkan.
Radzi berkata, bagi memperketatkan pematuhan SOP di asrama, pihaknya akan menambah baik langkah pematuhan melalui pasukan petugas khas yang ditubuhkan.
Bagaimanapun, menurut beliau, arahan penutupan sekolah akan dilaksanakan sekiranya keadaan bertambah buruk dan mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Setakat ini, Radzi berkata SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif diselaraskan, iaitu ditutup dua hari, dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.
Ia juga bagi PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja sanitasi dan disinfeksi.
Beliau berkata, bagi kawasan zon merah dan bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), kecuali PKP diperketatkan (PKPD), sekolah tidak akan ditutup, namun ini tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan negeri.
Katanya, keputusan untuk menutup sekolah ketika ini mungkin satu keputusan mudah, tetapi mungkin bukan keputusan yang tepat.
“Adakah menutup sekolah keputusan yang tepat (pada masa ini)? Kita perlu buat keputusan berdasarkan data dan analisa,” katanya.