PBT: Tiada penduduk terjejas PKPD di Tawau tidak terima bantuan bakul makanan

PBT: Tiada penduduk terjejas PKPD di Tawau tidak terima bantuan bakul makanan

8,572 bakul makanan diagihkan kepada lokaliti terjejas membabitkan 7,372 ketua isi rumah sejak 1 April.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Arnold Joibi berkata, tidak ada isu penduduk terjejas PKPD yang dipinggirkan daripada menerima bantuan bakul makanan.
TAWAU:
Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sentiasa memantau kawasan yang terjejas di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di 20 lokaliti dalam daerah itu dan menyalurkan bantuan.
Arnold Joibi.

Presiden MPT Arnold Joibi berkata, tidak ada isu penduduk terjejas PKPD yang dipinggirkan daripada menerima bantuan bakul makanan.

“Sejumlah 8,572 bakul makanan diagihkan kepada lokaliti terjejas membabitkan sejumlah 7,372 ketua isi rumah sejak 1 April.

“Ini termasuk 540 bakul makanan yang diedarkan di lokaliti Kampung Muhibbah Raya (Jalan Morell) di mana enam individu ditahan kerana cuba mengadakan demonstrasi dengan mendakwa saudara mara mereka di sana tidak menerima bantuan itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin enam individu ditahan kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi yang diadakan bagi membantah PKPD di Kampung Muhibbah Raya dengan mendakwa penduduk di kawasan itu tidak menerima pertolongan dan bantuan yang secukupnya.

Manakala itu, seorang lagi menyerah diri di balai polis berhampiran berhubung insiden tersebut.

Arnold berkata, memandangkan PKPD dilanjutkan di Kampung Muhibbah Raya hingga 8 Mei depan, bakul makanan tambahan akan dibekalkan ke lokaliti itu bermula hari ini (26 April).

“Bantuan itu juga akan merangkumi Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan, yang turut menyaksikan PKPD bagi kedua-dua lokaliti dilanjutkan hingga 9 Mei,” katanya.

Beliau berkata, tindakan MPT itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard yang ketat kerana Tawau secara konsisten merekodkan jumlah tertinggi kes baharu Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di enam zon di Tawau berakhir semalam seperti dijadualkan.

Enam zon terbabit ialah Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.