
Katanya, menerusi tender terbuka, ada kemungkinan kos pembelian peranti itu kurang atau melebihi peruntukan RM150 juta.
“(Jika) kosnya didapati sehingga 30% lebih tinggi pun, ia bermaksud bajet hanya akan naik RM45 juta, iaitu daripada RM150 juta kepada RM195 juta. Masih berbaloi.
“Apakah kenaikan kos RM45 juta ini, sekiranya dibandingkan dengan nilai untuk masa depan 150,000 murid miskin?” soalnya dalam catatan Facebook.
Najib berkata, kerajaan berjanji bantuan 150,000 unit peranti untuk pelajar B40 yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 akan dipercepatkan ke Februari lalu, tetapi semalam mengumumkan ia hanya dapat diberikan pada akhir September nanti.
“Sebuah kerajaan yang mungkir janji sendiri untuk membekal cuma 150,000 unit peranti pada masa yang tepat dan akibatnya menghalang 150,000 murid miskin untuk teruskan pendidikan mereka adalah sebuah kerajaan yang terbukti gagal sepenuhnya.
“Ini cuma 150,000 unit sahaja, bukan 1.5 juta netbook 1Malaysia yang berjaya diagihkan pada masa kerajaan Barisan Nasional,” sindirnya.
Ahli Parlimen Pekan itu bimbang pelajar perlu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila semua sekolah diarahkan tutup semula akibat peningkatan kes Covid-19 serta pertambahan kluster pendidikan.
“Masa itu, kerajaan nak murid miskin ikut PdPR pakai apa?” soalnya.
Beliau berkata, keadaan ekonomi yang terjejas teruk, ditambah kenaikan harga barang dan masalah pengangguran menyukarkan keluarga berpendapatan rendah membeli peranti untuk anak.
“Adakah kerajaan fikir keluarga miskin ada lebihan wang RM1,000 untuk beli tablet untuk anak-anak mereka?”