
Dalam kejadian di kolam ikan Empang Kampung Cempaka itu, kedua-dua mangsa Muhammad Farhan Zainal Abidin, 20 dan Muhammad Fitri Fahmy Hashim, 27, sebelum itu dikatakan memancing di kolam berkenaan bersama tiga lagi rakan.
Ketua Polis Daerah Temerloh Mohd Yusri Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakan pergi memancing di kolam berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.
“Sebelum kejadian, dua mangsa berkenaan dikatakan berteduh di bawah pokok di tepi kolam itu ketika hujan lebat disusuli dengan petir, manakala seorang rakannya balik ke rumah untuk mengambil telefon bimbit yang tertinggal.
“Ketika dua orang rakan lagi berkemas untuk pulang, tiba-tiba mereka melihat kedua-dua mangsa rebah dan dipercayai pengsan,” katanya menurut laporan Kosmo! Online.
Mohd Yusri berkata, rakan mangsa membawa mereka ke Klinik Lanchang dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di situ.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat.