
Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Noorin Badaruddin menolak permohonan Hew untuk semakan kehakiman bagi mencabar pengharaman buku itu.
Dalam penghakimannya, Noorin memutuskan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku itu adalah sah, wajar dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah.
“Kandungan buku ini kemungkinan menjejaskan ketenteraman awam. Buku ini telah menimbulkan kemarahan di negara ini dan mesti disekat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Menteri Dalam Negeri juga menyedari bahawa kandungan buku tersebut tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama dan ia boleh memecahbelahkan perpaduan.
“Oleh itu, tidak ada yang menyalahi undang-undang mengenai keputusan menteri dalam mengeluarkan perintah itu. Kerajaan mempunyai hak untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam,” katanya.
Hakim itu berkata, keputusan menteri juga dibuat selepas mempertimbangkan komen media sosial dan laporan polis yang dibuat oleh orang ramai mengenai buku tersebut.
“Mahkamah ini mendapati tiada merit dalam permohonan semakan kehakiman dan menolaknya dengan kos RM5,000,” katanya sambil menambah bahawa Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan adalah berpelembagaan dan sah.
Pada 6 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan Hew meneruskan semakan kehakiman terhadap pengharaman buku komik itu.
Permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah pengharaman oleh Menteri Dalam Negeri dan warta Peguam Negara (AGC) berhubung perintah itu bertarikh 23 Okt 2019.
Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 Nov 2019, Menteri Dalam Negeri (yang tidak dinamakan), Kementerian Dalam Negeri, AGC dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden.
Hew, adalah pengarang bersama buku komik yang diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina. Perintah pengharaman itu untuk ketiga-tiga bahasa.
Buku itu didakwa bermaksud mengagung-agungkan China serta Inisiatif Jalur dan Jalan, sementara dunia Barat diberi gambaran negatif.
Hew mendakwa lebih 2,000 salinan bukunya dirampas oleh kementerian di seluruh negara manakala 13 salinan lagi dalam versi bahasa Cina di Muzium Kebudayaan Komik Asia di Pulau Pinang, dalam pelaksanaan perintah pengharaman itu.
Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak berperlembagaan serta batal dan tidak sah.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam J Shamesh yang mewakili Hew berkata beliau menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya sama ada akan meneruskan rayuan terhadap keputusan tersebut atau sebaliknya.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili responden.