AstraZeneca akan diguna untuk 60 tahun ke atas dalam Fasa 2

AstraZeneca akan diguna untuk 60 tahun ke atas dalam Fasa 2

Setakat ini, sebanyak 282,000 dos sudah diperolehi, melengkapi vaksin yang sudah diperolehi.

(Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju untuk menggunakan vaksin buatan UK, AstraZeneca, kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata sebanyak 280,000 dos sudah pun sampai dan ia melengkapi vaksin-vaksin yang sudah diperolehi setakat ini.

“AstraZeneca selamat digunakan dan ia berkesan. Kita akan gunakan untuk 60 tahun ke atas dan kelompok yang sesuai dalam fasa ke-2.

“Pada masa sama, kita akan teliti dapatan dari negara-negara yang menggunakan vaksin ini kepada mereka berumur 18 tahun ke atas, 30 tahun ke atas dan 40 tahun ke atas,” katanya pada sidang media laporan minggu berhubung Covid-19.

Pengumuman itu dibuat tiga hari selepas Malaysia menerima bekalan pertama vaksin itu melalui Covax – inisiatif Pertubuhan Keselamatan Dunia (WHO) bagi menjamin akses global kepada vaksin Covid-19.

KKM berkata di United Kingdom vaksin berkenaan digunakan bermula dari umur 90 tahun dan ke bawah dan hasil kajian mendapati penggunaan vaksin AstraZeneca tidak menunjukkan pembekuan darah yang sangat jarang berlaku.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai kes kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin dari UK itu, termasuk insiden yang membabitkan kematian di beberapa negara.

UK dikatakan mengenal pasti 30 kes darah beku selepas pengambilan vaksin AstraZeneca.

Sementara itu, beberapa negara di Eropah termasuk Ireland, Denmark, Norway, Iceland, Austria dan Belanda menangguhkan penggunaan vaksin berkenaan bulan lalu selepas terdapat laporan isu pembekuan darah.

Agensi Kawal Selia Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan UK bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian darah beku berpunca daripada pengambilan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.