
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam, berkata pembekal dan pengeluar juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya membekalkan barangan basah tidak mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang bermula Rabu lalu.
“Sekiranya peruncit menjual melebihi harga ditetapkan, kita akan lihat pemborong. Kita juga akan lihat jika pemborong mendapat bekalan pada harga tinggi daripada penternak atau pengeluar.
“Konsep siasatan kita sekarang ialah semua pihak tidak akan terlepas sekiranya mereka melanggar undang-undang yang ditetapkan,” katanya selepas lawatan pematuhan harga SHMMP 2021 di Pasar Awam Moden Seksyen 6.
Beliau berkata, setakat semalam pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 8,347 premis borong dan runcit di seluruh negara.
“Setakat ini kami menerima empat aduan, dua di Selangor dan masing-masing satu di Kedah dan Perak memasuki hari kelima pelaksanaan SHMMP 2021,” katanya.