Saya kalah 3 pilihan raya kerana rakyat tolak pembangkang, kata Guan Dee

Saya kalah 3 pilihan raya kerana rakyat tolak pembangkang, kata Guan Dee

Timbalan menteri pelancongan berkata, pengundi di Sabah tidak menerima parti pembangkang.

Timbalan Menteri Pelancongan yang baharu dilantik Guan Dee Koh Hoi berkata, beliau mahu membantu memulihkan sektor pelancongan yang terkesan teruk susulan penularan wabak Covid-19.
KOTA KINABALU:
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang baru dilantik, Guan Dee Koh Hoi mempertahankan populariti dirinya dalam kalangan pengundi dengan berkata, beliau kalah dalam tiga pilihan raya lepas kerana rakyat Sabah menolak pembangkang.

“Pengundi tidak terima pembangkang.

“Betul saya kalah. Saya juga hilang wang pertaruhan,” katanya kepada FMT. Beliau berkata demikian semasa lawatan lima hari bersama menterinya, Nancy Shukri, ke Sabah.

Lawatan itu diatur oleh Malaysian Convention and Exhibition Bureau (MyCEB).

Katanya, beliau bertanding buat kali pertama pada 2004 sebagai calon Parti Demokratik Setiahati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah atau Setia.

“Ia adalah parti pembangkang,” katanya.

Katanya, pada pilihan raya umum 2008, beliau berjuang di bawah PKR, tetapi parti pembangkang itu masih lemah pada masa itu dan beliau sekali lagi hilang wang pertaruhan.

“PKR tidak memenangi satu kerusi pun di sini pada masa itu,” katanya.

Beliau kemudiannya bertanding di kerusi Parlimen Beaufort pada 2013 atas tiket Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), tetapi kalah.

“Namun selepas diberikan tanggungjawab sekarang, saya mahu menunaikan tugas di tangan,” katanya.

Pelantikan bukan ‘kelangsungan hayat politik’

Pelantikan Guan Dee baru-baru ini dikritik keras selepas pembangkang mendakwa langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi kelangsungan politik Muhyiddin Yassin.

Namun katanya, pelantikan beliau adalah untuk mengisi kekosongan jawatan yang wujud.

“Ia bagi mengisi kekosongan jawatan, bukan seperti yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana ia dibuat semasa pelaksanaan perintah darurat,” katanya kepada pemberita.

Senator itu berkata, banyak kerja yang harus dilakukan bagi membantu industri pelancongan yang terkesan teruk susulan penularan wabak Covid-19.

“Tanggungjawab telah diberikan dan kami (di Kementerian Pelancongan) akan bekerja keras bagi membantu Sabah dan negara merangsang sektor pelancongan,” katanya.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa pelantikannya merupakan sebahagian daripada strategi kelangsungan politik kerajaan.

“Itu pandangan beliau,” kata Guan Dee.

Beliau yang juga merupakan setiausaha agung STAR menambah bahawa mereka adalah sekutu Perikatan Nasional (PN) dan beliau mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini dipegang oleh presiden parti itu, Jeffrey Kitingan, yang dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah tahun lepas.

STAR menguasai enam kerusi penting di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Sekiranya parti itu keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah yang dipimpin oleh PN, kerajaan negeri bakal tumbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.