
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil soal siasat suspek tidak mengaku memukul ibunya dengan penyapu dan telefon bimbit.
“Namun, polis menahan reman suspek selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan,” katanya dipetik daripada Berita Harian.
Selain itu, polis turut merampas sebatang penyapu plastik yang dipercayai digunakan suspek memukul ibunya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, mangsa berusia 59 tahun, pergi ke rumah anak bongsunya berusia 24 tahun itu di Pangsapuri Sri Bagan, Butterworth.
Bagaimanapun, mangsa mendapati terdapat seorang lelaki di kediaman itu, lalu memintanya beredar menyebabkan anaknya mengamuk sehingga tergamak memukulnya malah mengugut membunuhnya.
Menurut mangsa, anaknya itu kini semakin emosi kerana tiada sumber pendapatan dan terputus bekalan dadah.