
Pengarahnya Salman Saaban berkata, operasi dijalankan melibatkan tujuh pegawai dan anggota pada 7.30 malam.
“Hasil pemeriksaan di premis dan kenderaan yang berada di situ menemui 70 ekor burung murai batu dan 1,000 ekor burung murai kampung yang dianggarkan bernilai RM66,000.
“Selain itu, beberapa barangan termasuk kenderaan jenis Toyota Estima yang digunakan, satu unit telefon bimbit dan 74 bakul plastik dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salman berkata, berikutan penemuan itu, seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun diperiksa dan diambil keterangan untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan hidupan liar tersebut.
“Dia juga disyaki cuba menyeludup hidupan liar tersebut ke negara jiran.
“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat dan barangan kes dibawa ke pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk tindakan lanjut,” katanya.