Kerana ‘jantan’, wanita tergamak ketuk kepala, ugut bunuh ibu

Kerana ‘jantan’, wanita tergamak ketuk kepala, ugut bunuh ibu

Mangsa ke rumah anak bongsunya dan mendapati terdapat seorang lelaki, lalu memintanya beredar sekali gus menyebabkan anaknya mengamuk sehingga memukul wanita berusia 59 tahun itu.

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas sebagai pesakit luar selepas kejadian, berikutan mengalami kesakitan di bahagian yang dipukul anaknya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sakit hati rakan lelaki disuruh pulang, seorang wanita tergamak mengetuk kepala ibunya dengan telefon bimbit selain memukul mangsa dengan penyapu dan mengugut mahu membunuhnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, mangsa berusia 59 tahun, pergi ke rumah anak bongsunya berusia 24 tahun itu di Pangsapuri Sri Bagan, Butterworth.

Bagaimanapun, mangsa mendapati terdapat seorang lelaki di kediaman itu, lalu memintanya beredar sekali gus menyebabkan anaknya mengamuk sehingga tergamak memukulnya.

“Tindakan mangsa menyebabkan anaknya mengamuk lalu mengambil penyapu dan memukul lengan kanan mangsa selain mengetuk kepala ibunya dengan telefon bimbit.

“Anak mangsa kemudian mengugut mahu membunuh mangsa jika ibunya membuat laporan polis,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Menurut mangsa, anaknya itu kini semakin emosi kerana tiada sumber pendapatan dan terputus bekalan dadah.

“Wanita itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian kerana bimbang keselamatannya selepas diugut anaknya.”

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas sebagai pesakit luar selepas kejadian, berikutan mengalami kesakitan di bahagian yang dipukul anaknya.

Noorzainy berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.