Usaha keluarga cari jawapan temui jalan buntu sewaktu datuk koma selepas jatuh

Usaha keluarga cari jawapan temui jalan buntu sewaktu datuk koma selepas jatuh

John Joseph Samikanoo, 67, tidak sedarkan diri selepas terjatuh di bangunan apartmen milik PKNS di SS8 Kelana Jaya, 13 Mac lepas.

Brian Ruban menunjukkan tempat di mana bapa mentuanya John Joseph Samikanoo terjatuh di bangunan apartmen PKNS di SS8, Kelana Jaya pada 13 Mac.
PETALING JAYA:
Sebuah keluarga yang mencari pihak yang bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan sebuah bangunan apartmen menemui jalan buntu sewaktu seorang datuk terbaring dalam keadaan koma selama hampir enam minggu selepas terjatuh di tangga bangunan terbabit.

John Joseph Samikanoo, 67, tidak sedarkan diri selepas terjatuh di bangunan apartmen milik PKNS di SS8 Kelana Jaya pada 13 Mac kerana terpaksa menaiki tangga untuk ke unitnya di tingkat 10 susulan tiga lif di bangunan itu rosak.

Ditemui di sebelahnya ialah susur tangga yang berkarat.

Polis percaya susur tersebut patah apabila Joseph menggunakannya bagi menyokong diri beliau dalam insiden di bangunan itu, yang merupakan salah satu daripada dua blok yang dibina oleh PKNS pada 1984.

Keluarga beliau yang mengadu bahawa lif dan tangga di bangunan itu tidak diselenggara dengan baik mendakwa perbadanan pengurusan bangunan (MC) enggan bertanggungjawab.

Susur tangga yang ditemui di sisi John Joseph Samikanoo. Polis percaya susur tersebut patah.

Mereka berkata, susulan sikap berdiam diri pihak berkuasa, peguam akan menulis surat kepada beberapa pihak bagi mendapatkan maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden yang berlaku, yang mungkin menyaksikan Joseph terbaring di katil sepanjang hayatnya.

“Terdapat terlalu banyak soalan berhubung isu penyelenggaraan apartmen PKNS di negeri ini, yang berada dalam keadaan yang tidak terurus,” kata peguam keluarga terbabit, Rajesh Nagarajan kepada FMT.

Katanya, selain PKNS, mereka juga akan menulis surat kepada pesuruhjaya bangunan, perbadanan pengurusan dan syarikat berkenaan, yang melantik perbadanan mengurus hartanah tersebut.

Bagaimanapun PKNS berkata, ia menyerahkan pengurusan dua blok bangunan itu kepada perbadanan terbabit, iaitu sebuah badan yang terdiri daripada penghuni yang dipilih pada 16 Dis 2017.

“Apartmen itu diurus sepenuhnya oleh MC,” kata seorang jurucakap.

Menantu John, Brian Ruban mendakwa, wakil MC tidak hadir dalam pertemuan yang dijadualkan Jumaat lepas.

Penghuni mengadu tiga lif di blok apartmen berkenaan kerap rosak. Sewaktu lawatan FMT awal bulan ini, hanya sebuah lif yang berfungsi.

FMT juga melihat surat daripada pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis kepada anggota Persatuan Penghuni Apartmen PKNS SS8 bertarikh 10 Mac 2020, yang mengesahkan bahawa siasatan empat hari sebelum itu mendapati lif di apartmen berkenaan tidak mematuhi syarat keselamatan api.

Blok apartmen di SS8 Kelana Jaya adalah salah satu daripada dua bangunan yang dibina oleh PKNS di kawasan itu.

Pengerusi persatuan Paul Chow memberitahu FMT bahawa sijil kelayakan lif tamat pada 17 Dis 2020 dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menyita kesemua enam lif di dua blok berkenaan tiga bulan selepas insiden melibatkan John.

“Ia kejadian yang menyedihkan dan kami memandang serius perkara itu,” katanya.

“Kami berusaha keras sejak 2016 bagi memastikan pengurusan apartmen berjalan baik dan mereka (MC) mematuhi semua peraturan dan undang-undang kecil standard.”

Mengulas notis yang ditampal bersebelahan lif di tingkat bawah bangunan yang menyebut bahawa MC berusaha mendapatkan dana daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membaiki “tali lif”, Chow mempersoalkan sama ada ia perlu.

“Ini apartmen kos sederhana dan tidak perlu bergantung pada derma daripada KPKT bagi memastikan lif berfungsi,” katanya.

“Apakah yang berlaku kepada wang daripada yuran penyelenggaraan penghuni? Di manakah kenyataan kewangan yang diaudit?,” soalnya, selain menambah bahawa pihak berkuasa harus menyiasat perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.