John Quinley dari Fortify Rights, yang merekodkan pelanggaran hak asasi terhadap Rohingya di Myanmar, Bangladesh, Malaysia dan India berkata, situasi yang membelenggu komuniti itu amat merisaukan.
“Sejak pandemik Covid-19, sentimen antipelarian di Malaysia meningkat,” katanya kepada FMT.
Selain kenyataan benci di platform media seperti Twitter dan Facebook, Quinley berkata pelarian Rohingya turut menerima ancaman bunuh dan cacian.

“Aktivis Rohingya terkenal bersembunyi kerana bimbang menjadi sasaran keganasan.”
Pada April tahun lalu, pengguna media sosial membanjiri Facebook dan Twitter dengan ucapan kebencian dan ancaman terhadap pelarian Rohingya susulan berita palsu mengatakan seorang aktivis dari komuniti itu mendesak mereka diberikan kewarganegaraan.
Berita palsu itu mengaitkan Zafar Ahmad Abdul Ghani, yang mengetuai Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (Mehrom), menyusul laporan pihak berkuasa Malaysia menyekat kapal membawa pelarian Rohingya yang kebuluran daripada memasuki negara.
Zafar menafikan dia mendesak kerakyatan untuk pelarian berkenaan, tetapi gagal menghentikan kata-kata benci yang terus dilemparkan terhadap komuniti berkenaan.
Akibat bimbang akan keselamatannya, aktivis Rohingya itu tidak meninggalkan kediamannya di pinggir ibu kota sejak hampir setahun lalu.
“Hari ini genap setahun sejak tuduhan palsu itu dibuat terhadap saya di platform media sosial pada 21 April 2020,” katanya di Twitter pada Rabu.
“Saya menggesa Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) dan negara untuk penempatan semula supaya mempertimbangkan memindahkan saya secepat mungkin kerana saya tidak henti menerima ancaman, gangguan dan cacian. Saya mengharapkan keadilan.”
Bercakap kepada FMT, Zafar berkata kempen kebencian terhadapnya turut memberi kesan terhadap keluarganya dan kerja aktivisnya.
“Semua kesan ini terhadap saya, isteri dan anak-anak kami yang semakin membesar tidak dapat ditanggung. Malaysia tidak lagi selamat untuk saya sekeluarga akibat tuduhan palsu terhadap saya.
Dia menggesa UNHCR dan pihak berkaitan untuk memeriksa permohonan beliau untuk penempatan semula, sambil menambah isterinya, warga tempatan, tidak lagi dapat melindunginya kerana dia juga hidup dalam ketakutan.
Sementara itu, Quinley berkata negara Asean mesti mengutamakan perlindungan pelarian serta memberi komitmen untuk memberi perlindungan kepada mereka yang melarikan diri daripada junta tentera di Myanmar.
“Mereka (negara Asean) juga sepatutnya mendesak junta untuk menghentikan serangan dan penangkapan, serta menamatkan rampasan kuasa.”