AirAsia, RinggitPlus bekerjasama tubuh pusat kewangan sehenti

AirAsia, RinggitPlus bekerjasama tubuh pusat kewangan sehenti

Airasia money menawarkan perbandingan produk kewangan dan perkhidmatan yang berpatutan dan menyeluruh kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berharap airasia money dapat memainkan peranan utama dalam memacu inklusi kewangan di ASEAN. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Group Bhd bekerjasama dengan platform kewangan RinggitPlus, bagi menubuhkan airasia money, pusat kewangan sehenti yang akan tersedia menerusi aplikasi AirAsia, airasia.com.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berkata, airasia money adalah pasaran kewangan yang menawarkan perbandingan produk kewangan dan perkhidmatan yang berpatutan dan menyeluruh kepada pelanggan, selain memberikan mereka pilihan bagi penyelesaian, kesedaran dan pendidikan kewangan.

“Kami berharap dapat memainkan peranan utama dalam memacu inklusi kewangan di ASEAN dan menyokong berjuta-juta pelanggan di seluruh rantau ini,” kata beliau pada satu sidang media hibrid di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua airasia money Mohamad Hafidz Mohd Fadzil berkata, ia akan dilancarkan di pasaran baharu hampir setiap suku pada tahun ini, termasuk di Indonesia pada suku ketiga, Filipina pada suku keempat serta Thailand kemudiannya.

Bagi Singapura pula, kata Hafidz, ia mungkin akan dilancarkan pada awal tahun depan.

“(Singapura) adalah sebuah pasaran yang sangat matang dan dikawal selia dengan ketat. Kami akan usahakan dengan pasaran sedang pesat membangun terlebih dahulu,” kata beliau.

Hafidz berkata, platform itu ketika ini menawarkan kad kredit dan pinjaman peribadi secara kerjasama dengan RinggitPlus.

Namun, tambah beliau, perkhidmatan itu tidak lama lagi akan dikembangkan dengan menampilkan perbandingan produk dan penyelesaian kewangan lain seperti insurans, pelaburan, kesedaran kewangan dan pembayaran serta produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.