
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, semua 39 pemain dan baki penerima vaksin selebihnya mendapat kelulusan daripada pihak berwajib.
“Saya tidak ingin memberikan komen yang panjang tetapi kita dapat kelulusan dan telah mengikut proses yang sempurna,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Wisma FAM di Kelana Jaya.
Seramai 78 individu terdiri daripada pemain dan pegawai termasuk pegawai tertinggi FAM mula menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun.
Suntikan vaksin buat skuad Harimau Malaya bukan sahaja menghilangkan kebimbangan pemain serta pegawai dari sudut kesihatan, malah membina keyakinan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu dalam usaha mencipta sejarah layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Namun, ia mendapat kecaman, selain menjadi pertikaian di media sosial, yang antaranya mempersoalkan mengapa skuad Harimau Malaya diberikan keutamaan berbanding golongan lain di negara seperti warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan pendidik.
Sebagai rekod, seramai 264 atlet dan pegawai mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 13 April lalu.
Mereka merupakan kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama.
Sementara itu, Stuart mengesahkan semua 39 pemain sudah menerima suntikan dos pertama selepas lima pemain iaitu Brendan Gan, Muhammad Syahmi Safari, Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang mewakili Selangor FC dan S Kumaahran (Melaka United FC) selesai menerima vaksin itu hari ini.
“Suntikan hari ini bukan kelompok kedua pemain, sebaliknya pemain yang tidak dapat hadir pada Isnin lalu disebabkan masalah logistik,” jelas Stuart.