PKP: Tindakan tegas ke atas individu rosak, alih kawat duri polis

PKP: Tindakan tegas ke atas individu rosak, alih kawat duri polis

Individu yang melakukan kesalahan boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 serta Akta Polis 1967.

Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata, pemasangan kawat duri serta tali rentang menandakan kawasan terbabit ditutup dan sebagai peringatan tegas kepada orang awam bahawa jalan itu tidak boleh dilalui sepanjang PKP dilaksanakan. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan harta benda polis, termasuk kawat berduri dan tali rentang yang dipasang di beberapa laluan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di daerah Tawau.

Ketua Polis Tawau, Peter Umbuas, berkata individu yang melakukan kesalahan itu boleh disiasat bawah Kanun Keseksaan, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) serta Akta Polis.

Peter Umbuas

“Pemasangan kawat duri serta tali rentang di beberapa laluan tertentu menandakan kawasan itu ditutup dan sebagai peringatan tegas kepada orang awam bahawa jalan itu tidak boleh dilalui sepanjang PKP dilaksanakan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau juga meminta orang awam melaporkan kepada polis jika terserempak atau melihat pihak tidak bertanggungjawab dengan sengaja mengalih atau merosakkan sebarang peralatan milik polis.

Peter berkata demikian ketika mengulas isu beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan kawat berduri serta tali rentang yang dipasang di satu laluan ditutup di sini sepanjang PKP dipercayai dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

PKP di Tawau dilaksanakan dari 3 April hingga 16 April lepas sebelum dilanjutkan bermula 17 April lepas hingga 30 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.