Kes kartel daging: Pengarah, pengurus syarikat didakwa miliki barang dilarang import lebih RM600,000

Kes kartel daging: Pengarah, pengurus syarikat didakwa miliki barang dilarang import lebih RM600,000

Tertuduh yang sama sebelum ini dituduh menggunakan perihal dagangan palsu dalam kes sindiket kartel daging sejuk beku import.

Kesemua tertuduh didakwa atas empat pertuduhan berhubung kesalahan bersubahat dan memiliki barangan dilarang import pada Disember tahun lalu.
JOHOR BAHRU:
Sebuah syarikat pembekal makanan sejuk beku serta pengarah dan pengurusnya yang sebelum ini dituduh menggunakan perihal dagangan palsu dalam kes sindiket kartel daging sejuk beku import, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.

Hari ini, mereka didakwa atas empat pertuduhan berhubung kesalahan bersubahat dan memiliki barangan dilarang import bernilai RM643,465.39 pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, pengarah syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd Yong Chee Keong, 40, mengaku tidak bersalah setelah semua tuduhan ke atasnya dibacakan secara serentak bersama-sama pertuduhan ke atas syarikat, di hadapan Hakim Wan Mohd Nor Hisham Wan Yaakob.

Mengikut kertas pertuduhan, Yong yang mewakili syarikat dan dirinya didakwa atas empat pertuduhan memiliki barang-barang larangan bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas iaitu Tan Siew Huak, 42.

Sementara itu, pengurus syarikat tersebut Chong Kim Kuang, 48, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat LY Frozen Food, Yong dan Tan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di kamar berasingan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Desa Idaman, Senai di Kulai pada 15 Dis tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1966 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM100,000 ke atas Yong dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, iaitu dia perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Chong pula dibenarkan ikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin beserta syarat tambahan yang sama.

Mahkamah menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar dan Nur Suriati Mohamad manakala syarikat, Yong dan Chong diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ridzuan Othman dan Saifuz Zaman Abd Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.