
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, walaupun kelonggaran diberikan kepada majikan, penguatkuasaan terus berjalan bagi memantau pematuhan terhadap akta berkenaan.
“Walaupun kita beri kelonggaran, mereka (majikan) harus bermula dari sekarang. Jangan bila kita nak kuat kuasakan Disember nanti, baru nak bina rumah (pekerja),” kata beliau pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengenai pengurusan pekerja asing.
Baru-baru ini, FMT melaporkan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) merayu diberi masa dan ruang untuk memenuhi akta berkenaan berikutan banyak syarikat masih terkesan akibat wabak Covid-19.
Akta 446 membabitkan hal ehwal pekerja dikuatkuasakan pada 1 Sept tahun lalu.
Sementara itu, Hamzah berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) selama setahun bagi pekerja asing sedia ada dalam sektor perladangan bagi mengelakkan kerugian besar terhadap ekonomi negara.
Bagaimanapun, kata beliau, lanjutan itu hanya diberikan kepada pemegang PLKS yang hampir tamat tempoh bagi tahun ke-13 dengan kadar levi tahun akhir.
“Sekiranya pas mereka tamat bulan Mei ini, PLKS mereka dilanjutkan setahun lagi dari tempoh itu. Begitu juga yang hampir tamat ketika ini.
“Lanjutan PLKS dalam sektor perladangan adalah penting kerana sektor itu dikesan mengalami kerugian besar iaitu mencecah RM10 bilion disebabkan ketiadaan pekerja akibat wabak Covid-19,” kata beliau.
Selain lanjutan PLKS dalam sektor perladangan, jawatankuasa hari ini juga memutuskan, empat subsektor, iaitu sektor restoran, sektor kargo serta sektor borong dan runcit selain sektor pembersihan dan pencucian, dibuka untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada majikan.
Selain itu, kata beliau, jawatankuasa juga bersetuju memperluaskan syarat kelayakan penyertaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada pekerja warga asing yang tergolong dalam kategori pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendaftar dalam Program Penggajian Semula tetapi tidak melengkapkan proses permohonan; PATI yang lari tetapi tidak dilaporkan majikan; dan PATI yang tiada dokumen perjalanan negara asal yang sah.