
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dipetik Bernama berkata, AGC memfailkan permohonan itu pada 7 April lalu atas alasan saman pemula Mun Chol Myong, 55, selaku plaintif, telah menjadi akademik selepas dia diekstradisi ke AS.
“Mahkamah juga menetapkan 24 Jun ini untuk mendengar permohonan pembatalan saman tersebut dan isu mengenai penyerahan saman pemula kepada kerajaan AS,” kata beliau, selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin hari ini.
Peguam Nicholas Kow dan Emile Ezra Hussain hadir mewakili Mun.
Pada 8 Mac lalu, Mun memfailkan saman pemula itu dengan menamakan Pendakwa Raya, menteri dalam negeri Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, kerajaan Malaysia dan kerajaan AS sebagai defendan pertama hingga kelima.
Mun memohon deklarasi bahawa Seksyen 4 dan Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992 bercanggah dengan Perlembagaan, batal, tidak sah dan tiada kesan kerana bertentangan dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta Pindaan ke-8 dan Pindaan ke-14 Perlembagaan AS.
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang kerajaan AS mengambil tindakan melalui menteri dalam negeri Malaysia, KDN Malaysia dan kerajaan Malaysia menurut Perjanjian Ekstradisi antara dua negara itu.
Selain itu, dia memohon deklarasi bahawa perintah menteri dalam negeri malaysia kepada majistret pada 8 Julai 2019 terhadapnya diisytiharkan batal dan tidak sah, seterusnya mengakibatkan pembatalan perintah ekstradisi Mahkamah Sesyen pada 13 Dis 2019.
Dalam permohonan itu, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menyalahgunakan peruntukan Akta Ekstradisi 1992, seterusnya mendiskriminasikan plaintif serta menyebabkannya ditahan sementara menunggu ekstradisi.
Pada 13 Mei 2019, pendakwaan memfailkan permohonan di Mahkamah Majistret untuk waran tangkap sementara terhadap Mun, yang dibenarkan pada hari sama.
Pada 10 Jun 2019, pihak berkuasa AS mengemukakan permohonan rasmi melalui saluran diplomatik kepada kerajaan Malaysia untuk Mun diekstradisi.
Permohonan ekstradisi itu menyatakan bahawa Mun penjenayah dalam buruan yang dikehendaki menghadiri perbicaraan di AS berikutan waran tangkap terhadapnya melibatkan tuduhan konspirasi pengubahan wang haram.
Mahkamah Sesyen pada 13 Dis 2019, memerintahkan Mun dihantar ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu penyerahan daripada menteri dalam negeri kepada pihak berkuasa AS.
Mun kemudian memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Dis 2019 untuk memohon dibebaskan daripada tahanan, namun ditolak pada 8 Okt lalu.
Rayuannya terhadap keputusan habeas corpus itu juga ditolak Mahkamah Persekutuan pada 9 Mac lalu, sebelum dia diekstradisi ke AS pada 17 Mac.