
SKMM dalam satu kenyataan memberitahu, sekatan itu berdasarkan permohonan rasmi dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, selain maklumat orang awam.
“SKMM turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan sedemikian mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka,” katanya, menurut laporan Berita Harian.
SKMM berkata, dari segi penguatkuasaan, bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan sewajarnya, audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar telah dijalankan.
“Ini penting bagi mengelakkan nombor berkenaan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah yang tidak terhad kepada penipuan dan mempromosi judi dalam talian.
“Sehingga bulan lalu, sejumlah 19,765 talian telefon sudah ditamatkan atas kesalahan spam SMS yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain,” katanya.
SKMM dalam kenyataan itu juga memaklumkan turut diutamakan ialah usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung aktiviti yang salah di sisi undang-undang, termasuk kegiatan judi dalam talian.
“Antaranya, program advokasi pengguna menerusi kempen kesedaran di seluruh negara serta melalui hebahan media bagi memupuk kesedaran dan sikap waspada orang ramai terutama golongan muda dan kanak-kanak supaya tidak terjebak dengan kegiatan judi dalam talian,” katanya.