Manosh Sivadas, pengurus operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berkata hampir semua pengendali bagasi, kakitangan daftar masuk dan kru ketibaan di bawah jagaannya terpaksa berkorban sejak setahun lalu.
“Hampir semua terpaksa mencari pekerjaan lain, sebagai penghantar untuk Grab, Foodpanda dan lain-lain kerja penghantaran. Dulu kami mempunyai sekitar 700 kakitangan pekerja sehari di KLIA, sekarang bawah 300, ” katanya.
“Ada yang terpaksa meninggalkan kerjaya kerana terpaksa diberhentikan, ada yang cuti tanpa gaji. Kami telah berusaha menggilir pekerja setiap tiga bulan sehingga semua orang berpeluang bekerja.”
Beliau berkata, kapasiti operasi mereka sekarang hanya satu persepuluh dari apa yang ada sebelum pandemik.

“Matlamat kami adalah untuk mempertahankan sebanyak mungkin pekerjaan, tetapi jika kami tidak mempunyai perniagaan, tidak banyak yang dapat kami lakukan.”
Mohd Nazir Tuah, pemandu limosin yang menguruskan lebih dari 200 perkhidmatan ulang-alik lapangan terbang, berkata pendapatannya telah berkurangan separuh dengan terlalu sedikit pelancong yang masuk, dan pemandu lain juga mengalami nasib sama.
“Keadaan sekarang sangat teruk kerana orang tidak dapat melakukan perjalanan rentas negeri. Keadaan agak baik untuk seketika sekitar bulan Julai tahun lalu ketika sempadan dibuka dan ada lebih banyak perjalanan.”
Dia berkata, hutang tertunggak juga sudah hampir setahun terpaksa ditanggung dan berharap ada jalan untuk keadaan akan pulih semula.

Pramugari AirAsia Victoria Yuyun sentiasa mengimpikan untuk kembali sebagai kru kabin, tetapi sejak setahun lalu ia seolah-olah menjadi mimpi ngeri selepas terpaksa hidup dengan pendapatan sepertiga berbanding pendapatan diperolehnya sebelum ini dan hanya bergantung kepada gaji pokok tanpa elaun penerbangan yang menjadi sebahagian besar daripada pendapatannya.
“Saya telah menghabiskan simpanan saya, saya memohon pengeluaran i-Sinar, saya masih mempunyai bil yang perlu dibayar dan dan ia bukannya sedikit. Secara keseluruhan, antara gaji saya dan perberlanjaan, banyak wang perlu dibelanjakan setiap bulan.
Katanya, harapannya untuk menjadi kru kabin kanan tahun lalu juga telah musnah.
“Saya mahu menjadi kru kabin kanan, orang yang mengendalikan seluruh penumpang pesawat semasa penerbangan, ini yang membuatkan saya mahu kembali. Namun cara perniagaan syarikat penerbangan pada masa ini, tidak ada kekosongan untuk saya cuba. ”
Amira Nuria Anua, juruterbang dengan syarikat Firefly, berkata gajinya juga mengalami penyusutan mendadak, hampir 70%, seiring dengan kurangnya jam penerbangan.
“Saya biasa terbang sekitar 70 hingga 80 jam sebulan. Sekarang, hampir 10 atau 15 jam sahaja. Kami biasa terbang sekitar 20 jam ketika perjalanan antara negara diizinkan, tetapi untuk mendapatkan waktu itu sekarang umpama satu rahmat. ”
Keadaan bertambah buruk apabila suaminya juga kehilangan pekerjaan sebagai juruterbang dengan Malindo pada Oktober, yang turut menambah lagi tekanan kepada mereka.