
Ketika Covid-19 melanda pada 2019, keadaan bertambah buruk bagi bapa berusia 59 tahun ini yang sudah berada dalam industri berkenaan sejak 1990an.
“Saya sudah terkeluar dari pasaran kerja,” katanya kepada FMT. Katanya dia sudah “terlalu tua” dengan pemaju projek mencari orang yang lebih muda.
Dennis, yang memang mencintai bidang rekabentuk pernah mencipta program “edutainment” untuk kanak-kanak pada lewat 90an ketika teknologi baharu CD-ROMs ketika itu sedang trending.
Beliau berkata, pasukannya dalam syarikat Articulate Designs menjadi pelopor dalam permainan komputer interaktif dan berwarna-warni, melatih daya ingatan kanak-kanak dalam mata pelajaran matematik dan bahasa Inggeris.
Banyak anugerah rekacipta yang dimenangi dalam bentuk CD-ROM dijual di Belgium, Belanda, Luxembourg, negara Asia Barat dan beberapa negara lain.
Bagaimanapun katanya, banyak perkara berubah sejak zaman kegemilangannya bersama CD-ROM dengan kanak-kanak lebih memilih telefon bimbit dan tablet berbanding permainan interaktif dan informatif.

Lebih-lebih lagi, dengan pandemik yang memberi kesan terhadap peluang pekerjaan, dia merasakan dirinya tidak lagi mampu.
Tetapi pada satu hari tahun lalu, dia mendapat ilham ketika membantu anak lelakinya berusia 11 tahun menyiapkan kerja sekolah matematik. Ia telah memaksanya untuk mencari jalan untuk menjadikan kerja menyiapkan latihan di rumah sesuatu yang menyeronokkan.
“Saya berjaga malam, melihat semua kerja yang pernah saya hasilkan sebelum ini dan membuat sedikit ubah suai dan akhirnya…bomm, saya berjaya,”
Hasilnya adalah papan permainan berasaskan soalan matematik untuk kanak-kanak, direka untuk membantu meningkatkan daya ingatan dan kemahiran matematik.
Dia melihat potensi rekaannya itu dipasarkan kerana ia boleh disesuaikan mengikut subjek berbeza serta kumpulan umur dan terus memperkemas prototaip dalam tempoh lima bulan sambil meneliti soalan dalam buku teks anaknya dan melukis sendiri grafik dan lakaran.
Selepas pergi ke pencetak untuk mencetak rekaan pertamanya, Dennis terus mendapatkan maklum balas daripada guru besar, guru dan pendidik lain dan pakar. “Mereka semua beranggapan rekaan ini akan menjadi hit.”
Dengan bantuan adiknya, dia memuat naik persembahan video mengenai ideanya di platform crowdfunding www.pitchin.com, di mana rakan, keluarga dan orang asing mengumpulkan sejumlah RM23,000, supaya dia dapat membuat papan permainan berkenaan.
Permainan itu boleh dimainkan dengan dua hingga enam pemain yang akan mengambil giliran membaling dadu dan kemudian bergerak di sekitar papan bersama token.
Pemain menggerakkan token hingga ia sampai ke petak berwarna. Selepas itu, pemain perlu menarik kad soalan dari empat kategori yang berbeza. Permainan yang digelar Math-Ace, direka untuk kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun.
Ia mengandungi 200 soalan, yang semuanya berkaitan dengan pengetahuan yang diperlukan dalam subjek.
“Untuk matematik, ada soalan mengenai tambah, tolak, darab, pecahan, perpuluhan, geometri, penyelesaian masalah dan lain-lain.”
Pemain yang mengumpulkan mata terbanyak dari jawapan yang betul dikira pemenang.
Selepas mencetak papan permainannya, Dennis terus mengedarkan permainan itu kepada golongan yang kurang bernasib baik, dan melawat lapan rumah anak yatim di Lembah Klang.
“Ketika saya meminta dana membiayai pembuatan papan permainan ini, penyumbang mengatakan mereka mahu saya memberikannya kepada yang memerlukan,” katanya.

“Anak-anak ini menjalani kehidupan yang sangat sukar. Mereka bangun seawal jam 4.30 pagi. Kemudian mereka pergi ke sekolah. Mereka sangat mengharapkan perkara seperti ini.
”Melalui pengalamannya dengan anak-anak yatim, Dennis mendapati bahawa permainan itu dapat memupuk kebersamaan, dengan anak-anak saling bekerjasama untuk menjawab soalan.
Dennis merancang untuk menyesuaikan permainan ini dengan kumpulan umur dan subjek yang berbeza dan dengan bahasa yang berlainan.
“Saya baru sahaja menyelesaikan matematik dan bagi saya, ini hanyalah usaha kecil sahaja”.
Dennis turut mengalu-alukan pembiayaan dan dana dari mana-mana syarikat bagi membolehkan lebih banyak rumah anak yatim menerimanya.
Anak-anak yatim yang ingin turut serta boleh menghubunginya di talian +60 12 325 5032.
Papan permainan ini juga boleh didapati melalui laman webnya, http://www.aceadvancegames.com/.