
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, ini daripada keseluruhan 83 kluster dan 4,868 kes yang dikesan sejak awal tahun ini.
Daripada jumlah itu, 39 kluster dengan 1,420 kes berkait sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan, manakala 19 kluster dengan 1,870 kes membabitkan institusi pendidikan tinggi.
Adham memberi jaminan kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan untuk membendung penularan Covid-19.
Beliau berkata, pegawai kesihatan akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak dan penilaian risiko sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kes positif di sesebuah kawasan.
Kata beliau, pegawai kesihatan daerah seterusnya akan mempertimbangkan keperluan menutup sementara sekolah untuk melaksanakan langkah pencegahan bagi mengelakkan lebih banyak jangkitan.
Beliau turut mengingatkan mereka dalam sektor pendidikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memaklumkan pejabat kesihatan daerah terdekat sekiranya ada kes disahkan.
“Kerjasama padu KKM dengan semua pihak dalam sektor pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga sektor pendidikan terus terjaga,” kata beliau dalam kenyataan.