
Kanak-kanak itu termasuk mereka yang menghidap Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) atau masalah berkaitan ketidakupayaan pembelajaran seperti Kecelaruan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) serta disleksia.
Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 600,000 individu yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) mendaftar dengan agensi kerajaan berkaitan.
Ini termasuk 204,000 kanak-kanak yang menghidap ASD dan masalah pembelajaran, katanya.
“Namun, kita percaya jumlahnya mungkin lebih ramai kerana masih ada ibu bapa di luar sana yang belum mendaftarkan anak-anak (istimewa) mereka, memandangkan 15% daripada populasi penduduk mungkin dikategorikan sebagai OKU,” katanya yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral, menurut laporan Bernama.
Beliau ditemui selepas mengunjungi Pusat Penjagaan Persatuan Autisme Labuan di Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Labuan.
“Saya berharap pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) atau badan kebajikan swasta dapat menyokong penubuhan pusat intervensi awal seperti pusat jagaan kanak-kanak dengan Kecelaruan Spektrum Autisme melalui program kolaborasi dengan badan kerajaan yang berkaitan,” katanya.
Ras Adiba berkata, ada ibu bapa tidak dapat menghantar anak autistik dan anak istimewa mereka ke pusat intervensi awal kerana kapasiti yang terhad di pusat berkenaan.
“Oleh kerana bilangan kanak-kanak autistik yang tidak berdaftar mungkin lebih tinggi, kita mesti berusaha meningkatkan jumlah pusat intervensi awal di seluruh negara.
“Saya berharap sektor korporat dapat memainkan peranan mereka dalam isu ini,” katanya.
Katanya, kerajaan serius dalam menangani isu kanak-kanak bermasalah pembelajaran dan JKM mempunyai dana untuk membantu mereka menjalani terapi tertentu supaya dapat berdikari.