
Pengerusi PKOB Tawau, Arnold Joibi, berkata setakat ini belum ada cadangan untuk menguatkuasakan PKPD sekalipun Tawau merekodkan kes harian Covid-19 yang tinggi setiap hari.
“Saya harap orang ramai mendapatkan maklumat tepat melalui kenyataan rasmi dalam sidang media mengenai Covid-19 di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semalam.
Beliau berkata pada masa ini pihaknya menumpukan pencegahan pada peringkat lokaliti tertentu bagi memastikan trend kes Covid-19 di Tawau dapat dilandaikan semula.
Sejak 1 April hingga kini terdapat 20 lokaliti PKPD di Tawau melibatkan lebih 28,000 penduduk.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran, berkata sebanyak 5,000 warga emas telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Katanya, bagi yang mempunyai penyakit dan perlu mengambil ubat, mereka dinasihatkan agar membawa bersama ubat tersebut ketika datang mendapatkan suntikan vaksin bagi membolehkan doktor menilai tahap kesihatan individu berkenaan.
Menurutnya, seramai 240 individu menerima dos pertama vaksin semalam.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 46 kompaun RM1,000 hingga RM10,000 dikeluarkan pihaknya sepanjang penguatkuasaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di Tawau pada awal bulan ini.
Pesalah kali pertama boleh memohon pengurangan denda dengan hadir di Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dalam tempoh 48 jam selepas dikompaun, namun bagi kesalahan berulang, pesalah tidak layak menerima pengurangan kompaun, katanya.