
Ini diumumkan oleh Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dalam satu ucapan tahniah kepada beliau di Facebook hari ini.
Menurut fakulti, pelantikan Dr Adeeba ke majlis tersebut adalah saat membanggakan kerana ia kumpulan peringkat tinggi yang dianggotai sarjana terkemuka.
Menurut laman web WHO, Majlis Sains tersebut adalah “suara kepemimpinan saintifik” yang memberi nasihat mengenai perkara-perkara berkeutamaan tinggi berkaitan sains, serta kemajuan sains dan teknologi yang mempengaruhi kesihatan global.
Menurut WHO, anggota majlis itu terdiri daripada pakar terkemuka di peringkat antarabangsa dengan rekod pencapaian dalam bidang masing-masing, serta mempunyai kefahaman yang diiktiraf mengenai kesihatan global.
Kini profesor perubatan dan penyakit berjangkit di UM, Adeeba juga menganggotai G25.
Beliau juga mengasaskan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS yang menjalankan kajian pelbagai disiplin tentang HIV, dari segi klinikal, kesihatan awam dan dasar berkaitan.
Adeeba juga ialah pengerusi Yayasan AIDS Malaysia dan ahli eksekutif Majlis AIDS Malaysia.
Pada 2013 dan 2014, beliau telah diberi penghormatan dengan ditampilkan dalam jurnal The Lancet dan Science.
Tahun lalu, Adeeba mencipta sejarah dengan menjadi orang Asia pertama dilantik sebagai presiden Persatuan AIDS Antarabangsa.