Dakwaan palsu 9 pelajar positif Covid-19 tular, JPN Perlis buat laporan polis

Dakwaan palsu 9 pelajar positif Covid-19 tular, JPN Perlis buat laporan polis

Penularan maklumat yang tidak benar itu mencetuskan panik ibu bapa dan pelajar di seluruh negeri, malah kehdiran pelajar merosot 35%.

Pengarah JPN negeri Naharudeen Othman berkata hanya seorang pelajar positif Covid-19 manakala murid lain yang menjadi kontak rapat disahkan negatif dan sedang dikuarantin. (Gambar Facebook)
KANGAR:
Jabatan Pendidikan Negeri Perlis hari ini membuat laporan polis berhubung isu yang tular di media sosial mendakwa sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka disahkan positif Covid-19.

Pengarahnya, Naharudeen Othman berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar kira-kira 10 pagi tadi.

“Apa yang ditularkan di media sosial semalam adalah tidak benar, hanya seorang sahaja pelajar yang disahkan positif Covid-19. Lain-lain murid yang menjadi kontak rapat disahkan negatif dan sedang dalam proses kuarantin,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri.

“Jumlah kehadiran pelajar di SMK Guar Nangka dan sekolah di sekitarnya merosot kepada 35% akibat kebimbangan ibu bapa terhadap tular tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Wari Kiew ketika diihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis itu.

Beliau turut menasihati orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan boleh mengganggu ketenteraman awam kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana menyebarkan berita palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.