
Mangsa berusia 20 tahun bukan saja dijerut menggunakan wayar elektrik, malah ditikam dan leher dikelar, sebelum mayatnya yang dibungkus plastik sampah dimasukkan ke dalam beg dan dibuang ke tong sampah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman, berkata mangsa dan suspek adalah rakan serumah, namun ketika kejadian, suspek membawa dua lagi individu ke rumah berkenaan dengan alasan untuk menyamun mangsa.
“Dua lelaki itu bersetuju tanpa mengetahui niat sebenar suspek adalah untuk membunuh dan bukan menyamun mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, menurut laporan Utusan Malaysia.
Khalid berkata, mangsa yang pulang ke rumah pada 12.30 tengah malam diserang semua suspek sebelum suspek utama menjerut dan menikam mangsa.
“Suspek kemudian membungkus mayat mangsa dengan plastik sampah sebelum dimasukkan ke dalam beg dan dibuang ke tong sampah.
“Ketiga-tiga individu berkenaan kemudian membawa turun tong sampah yang mengandungi mayat mangsa sebelum dibuang di tepi jalan di Persiaran Kewajipan.
“Tindakan suspek dan rakannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) apartmen berkenaan oleh ibu saudara mangsa selepas mangsa gagal dihubunginya,” katanya.
Khalid berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu, polis kemudian menahan tiga lelaki dalam serbuan berasingan di Kampung Sri Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Flat Keramat Jaya Sri Perlis di Kuala Lumpur.
“Siasatan awal terhadap suspek utama mendapati kejadian berlaku akibat dendam lama.
“Malah, suspek turut mengakui pernah bekerja bersama mangsa selama enam hari dan mendakwa sering dibuli menyebabkan dia menyimpan dendam terhadapnya,” katanya.
Semua suspek direman enam hari bermula 20 hingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.