11 lagi alat bantuan pernafasan akan dihantar ke Sarawak

11 lagi alat bantuan pernafasan akan dihantar ke Sarawak

Ini susulan aduan ADUN Bukit Assek bahawa beberapa unit yang dihantar sebelum ini tidak berfungsi.

Menurut KKM, 10 unit alat bantuan pernafasan yang dihantar minggu lalu digunakan di Hospital Sungai Buloh sebelum ini.
PETALING JAYA:
Sebelas unit alat bantuan pernafasan tambahan akan dihantar ke Sarawak susulan aduan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahawa lapan unit yang dihantar sebelumnya tidak berfungsi, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Daripada 11 unit tersebut, lima akan dihantar ke Hospital Sibu, dua ke Hospital Sarikei dan empat ke Hospital Bintulu.

Ini tambahan kepada lapan unit alat bantuan pernafasan dan lapan Monitor Pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dihantar ke Hospital Sarikei.

Awal hari ini, ADUN Bukit Assek Irene Chang berkata, 10 unit alat bantuan pernafasan yang tiba Selasa lalu dihantar ke Hospital Sibu (lima unit), Hospital Bintulu (tiga) dan Hospital Sarikei (dua).

Katanya, alat yang dihantar ke Sibu dan Bintulu tidak berfungsi dan telah dihantar untuk diperbaiki.

“Kedua-dua unit yang dihantar ke Hospital Sarikei juga tidak berfungsi dengan baik dan sentiasa perlu dihidupkan semula, dan ini ancaman serius bagi pesakit,” katanya dalam kenyataan.

Menurut KKM, 10 unit alat bantuan pernafasan tersebut, yang digunakan di Hospital Sungai Buloh untuk kecemasan, dalam keadaan baik ketika dihantar pada 12 April.

Namun, kementerian mengakui kerosakan pada mungkin terjadi ketika proses penghantaran ke hospital terbabit, tambahnya.

“Ini mungkin disebabkan sensor oksigen dan papan litar utama, yang sangat sensitif terhadap perubahan suhu dan kelembapan serta getaran ketika proses pengangkutan.”

KKM juga berkata, ia sedang dalam proses memperoleh alat bantuan pernafasan tambahan untuk kegunaan seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.