
Pendakwa raya ad hoc, V Sithambaram, mendakwa Najib bertindak sesuka hatinya dan para pengarah tidak tahu apakah yang sedang berlaku.
“Ia ‘one-man show’. Dia jauhkan semua orang dan mengawal dana SRC menerusi CEO dan pengarah (ketika itu), Nik Faisal Ariff Kamil,” katanya, pada pendengaran rayuan Najib terhadap pensabitan dan hukuman kes rasuah berkaitan SRC.
Sithambaram berkata, Najib mengurus syarikat itu sampai ke tahap memutuskan pelantikan peguam dan juruaudit serta bank yang mengendalikan akaun syarikat tersebut, yang kebiasaannya merupakan tugas pengarah.
Beliau berkata Najib lebih berkuasa kerana beliau adalah perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC, yang kemudiannya diletakkan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.
“Beliau adalah ejen SRC dengan kapasitinya sebagai ‘pengarah bayangan’ kerana boleh melantik dan memecat pengarah,” katanya.
Sithambaram berkata, SRC ditubuhkan untuk tujuan tertentu tetapi Najib akhirnya mempunyai kuasa mutlak ke atas hartanah syarikat terbabit.
Katanya, SRC, ditubuhkan oleh Najib pada 2011 untuk melabur dalam projek berkaitan sumber tenaga konvensional dan boleh diperbaharui, sumber asli dan mineral.
Katanya, Najib, sebagai wakil pemegang saham (Kementerian Kewangan Diperbadankan), sepatutnya memberikan arahan kepada pengarah mengenai isu-isu utama “tetapi akhirnya hanya (memastikan) dana tersedia untuknya”.
Beliau mendakwa SRC dikawal Najib. Ini dapat dilihat dari banyak dokumen syarikat itu, katanya.
Sithambaram, yang diberi lesen khas oleh Peguam Negara untuk mendakwa kes itu berkata, sebahagian besar daripada pinjaman RM4 bilion yang diperoleh daripada dana persaraan kerajaan juga dipindahkan ke luar negara atas arahan Najib pada 2011 dan 2012.
“Dia mengambil alih peranan pengarah dan melanggar undang-undang untuk menguntungkan dirinya,” katanya.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion SRC International daripada KWAP.
Beliau juga menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan wang RM42 juta milik SRC International yang juga merupakan bekas unit 1MDB.
Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas beliau didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan RM42 juta milik SRC International.