
Pengarah eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, masa yang diberikan untuk majikan patuh kepada akta itu juga amat pendek kerana ia hanya dikuatkuasakan pada 1 Sept tahun lalu.
“Kebanyakan peraturan dalam akta itu melibatkan kos dan pada tahun lalu, malah sekarang pun banyak syarikat masih terumbang-ambing dari segi kewangan.
“Kos itu (perumahan pekerja) dikira sebagai kos tambahan yang terpaksa ditanggung dan kebanyakan syarikat tidak mempunyai dana untuk berbuat demikian,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebanyak 10,961 atau 73.9% majikan dikesan gagal mematuhi Akta 446 itu dalam pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja ke atas 14,835 majikan di seluruh negara dari 1 Feb hingga 15 April lepas.
Antara kesalahan di bawah akta berkenaan adalah penginapan tidak diperakui oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja, penginapan tidak mematuhi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak menyediakan ruang rehat serta ruang makan kepada pekerja.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, oleh kerana peraturan baharu itu mempunyai peruntukan yang ketat, ia akan mengambil masa lebih lama untuk pihak majikan patuh kerana perumahan pekerja membabitkan urusan dengan dua pihak berbeza.
“Kita perlu berurusan dengan Jabatan Tenaga Kerja dan juga PBT di kawasan terbabit.
“Ini kerana jika kita mahu dapatkan kelulusan daripada Jabatan Buruh, semua perkara berkaitan PBT juga perlu diluluskan terlebih dahulu.
“Ini memakan masa yang lama, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kawasan perumahan,” katanya.
Beliau berkata, penambahbaikan penempatan sedia ada memerlukan masa tambahan sekurang-kurangnya satu tahun, manakala pembinaan penempatan baharu mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun sebelum premis dapat digunakan sepenuhnya.

“Justeru, saya berharap, JTK mempertimbangkan supaya tindakan kompaun dan saman tidak diambil terhadap majikan yang sudah membuat permohonan dan permohonan itu masih dalam proses dipertimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, penindasan terhadap pekerja asing sudah lama dilakukan oleh majikan tempatan.
“Kurangnya penguatkuasaan dibuat oleh kerajaan menyebabkan ramai majikan ambil pendekatan sambil lewa mengenai perumahan, terutamanya melibatkan pekerja asing.
“Apabila berlaku Covid-19, dan lebih-lebih lagi penularan meningkat daripada kluster pekerja asing, baru kita tahu hampir 74% majikan tidak ikut atau penuhi akta standard perumahan ini,” katanya.
Justeru, Effendy mendesak kerajaan supaya menggiatkan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan secara menyeluruh terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi akta berkenaan.
“Kita mohon supaya kerajaan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang tidak patuh kepada akta berkenaan.
“Jika perlu babitkan MTUC sekali, kita bersedia bersama-sama kerajaan mengadakan lawatan ke tempat-tempat pekerja asing,” katanya.