500,000 guru akan terima vaksin pada fasa ke-2

500,000 guru akan terima vaksin pada fasa ke-2

Setakat ini, 11,902 daripada 54,537 guru yang tersenarai dalam fasa pertama sudah menerima dos pertama vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, 500,000 guru akan menerima vaksin dalam fasa ke-2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini.
PUTRAJAYA:
Kira-kira 500,000 guru termasuk di sektor swasta akan menerima vaksin dalam fasa ke-2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Pendidikan sedang menyiapkan senarai guru berkenaan untuk dimasukkan ke dalam sistem vaksinasi bagi mendapatkan janji temu.

“Setakat ini, seramai 11,902 daripada 54,537 guru yang tersenarai dalam fasa pertama sudah menerima dos pertama vaksin.

“Selebihnya akan menerima suntikan dalam bulan ini,” katanya pada sidang media perkembangan program vaksinasi.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Sebelum ini, persatuan guru mendesak kerajaan mempercepatkan program vaksinasi kepada golongan pendidik bagi memastikan keselamatan guru terjamin dan sekolah beroperasi dengan selamat, selain mengelakkan berlakunya “kluster sekolah” selepas sesi pembelajaran secara bersemuka bermula 1 Mac lalu.

Lapan negeri dan wilayah yang terbabit dalam fasa kedua PICK adalah Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan.
Fasa kedua program imunisasi di negeri lain pula akan dimulakan beberapa hari kemudian.

Sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi, antaranya warga emas, pesakit kronik, OKU dan individu mempunyai komorbiditi.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, setakat semalam seramai 8,992,832 orang sudah mendaftar untuk program vaksinasi kebangsaan.

“Putrajaya merekodkan 98% kadar pendaftaran tertinggi diikuti Selangor dan Kuala Lumpur (50%), Pulau Pinang (45%), dan Negeri Sembilan (44%).
“Kita akan beri tumpuan kepada Kelantan, Sabah, Pahang, Terengganu dan Kedah yang mencatatkan pendaftaran rendah,” katanya.

Khairy berkata, setakat ini seramai 701,812 individu sudah menerima suntikan dos pertama manakala 443,029 individu sudah menerima dos kedua.
“Ini membawa sejumlah 1,144,841 orang yang sudah menerima vaksin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.