Putrajaya timbang wujud peraturan, badan khas kawal selia p-hailing

Putrajaya timbang wujud peraturan, badan khas kawal selia p-hailing

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, berkata sudah tiba masanya untuk membela kebajikan pekerja ekonomi gig itu.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong menganggarkan terdapat kira-kira 100,000 penghantar barangan dan makanan ketika ini.
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan peraturan dan sebuah badan khusus yang mengawal selia penghantar barangan dan makanan menggunakan motosikal (p-hailing).

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk membela kebajikan pekerja bidang itu.

“Bagi saya, perlu ada satu dasar seperti e-hailing. Kalau dulu tidak ada sebarang peraturan e-hailing, oleh itu kerajaan sedang melihat kaedah yang wajar untuk membuat perbincangan antara agensi dan kementerian.

“Kita memang faham mereka ini bertungkus-lumus menghantar makanan dan jangkaan saya, kini terdapat lebih kurang 100,000 orang terlibat dalam bidang ini,” katanya dipetik Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di ibu pejabat parti negeri di Johor Bahru.

Beliau mengulas luahan pemandu atau penunggang p-hailing yang dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya, khususnya dalam aspek kebajikan daripada penyedia perkhidmatan itu.

Wee berkata, kerjaya sebagai pemandu p-hailing menjadi sebahagian daripada industri ekonomi gig yang “bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan” sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ini kerana orang ramai kini lebih gemar berbelanja, termasuk membuat pesanan makanan dalam talian berbanding duduk (makan) di restoran.”

Atas dasar prihatin dengan nasib penunggang p-hailing, katanya, kerajaan baru-baru ini hendak mewajibkan penunggang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kalau caruman sebanyak RM13.10 sebulan…mereka bolehlah dapat bayar, maka ada perlindungan secara asas,” katanya yang menasihatkan penunggang p-hailing bertanggungjawab memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain ketika membuat penghantaran.

Pada 9 April lalu, Wee memetik statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman sebagai berkata, 2/3 daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam sembilan bulan pelaksanaan PKP tahun lalu melibatkan penunggang p-hailing.

Katanya, terdapat banyak aduan berhubung penunggang p-hailing menunggang dengan laju dan melulu.

“Justeru, saya sudah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan mengadakan satu siri kempen (keselamatan jalan raya) untuk meningkatkan kesedaran penunggang ini. Mereka juga harus mempunyai sikap tanggungjawab dan prihatin terhadap pengguna jalan raya yang lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.