
Katanya, desakan itu susulan lonjakan kes secara mendadak yang dilaporkan di India, selepas pengesanan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai “varian India”.
Beliau menyifatkan kadar penularan Covid-19 di India “amat seram” sehingga mencapai lebih 260,000 kes baharu semalam, dengan lebih 60% kes baharu itu ialah mutasi berkembar “varian India”.
“Varian-varian berbahaya seperti mutasi UK dan Afrika Selatan (yang menular dalam negara ini) hanya ada satu mutasi.
“Varian India ini ada dua mutasi dan ramai pakar semakin bimbang sebab ianya sedang menular dengan begitu laju sekali.
“Kebanyakan orang yang dijangkiti pula adalah orang muda. Mereka yang sakit juga lebih sukar untuk dirawat berbanding varian lain,” tulisnya di Facebook sambil menambah pakar tidak pasti jika vaksin Covid-19 sedia ada berkesan ke atas varian baharu itu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan pantas mengekang “varian India” menular ke Malaysia dan belajar daripada pengalaman selepas tercetusnya kluster Sivagangga di Kedah tahun lalu yang berpunca daripada seorang individu pulang dari Sivagangga, India pada 13 Julai 2020, tetapi ingkar arahan kuarantin wajib di rumah.
Katanya, hasil pemerhatiannya ke atas laporan Majlis Keselamatan Negara mendapati masih ada ramai pengunjung dari India yang datang ke Malaysia, oleh itu kerajaan perlu bertindak segera.
“Jangan ambil risiko dan jangan memperjudikan nyawa rakyat dan negara,” katanya.