
Mah berkata, beliau mengarahkan Jabatan Pendidikan Johor mengubah dasar itu dan membatalkan semua sekatan yang disifatkannya “kesilapan” pengetua sekolah yang bertentangan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
“Melalui kegiatan sukanlah kita boleh menggalakkan integrasi, pelajar bermain bersama (dan) meningkatkan perpaduan, keakraban dan semangat kebersamaan,” kata beliau dipetik Malaysiakini.
Terdahulu, pengetua sekolah itu, Abdul Razak Hamid, mempertahankan langkah berkenaan dengan memberitahu FMT, “syarat” itu perlu akibat kekurangan kemudahan bersukan bagi pelajar.
“Kita sekolah hoki, jadi padang sedia ada terpaksa digunakan untuk sukan berkenaan, jadi tiada padang boleh digunakan pelajar bagi aktiviti sukan lain.
“Jadi, pihak sekolah terpaksa meletakkan syarat seperti itu bagi menarik minat pelajar Melayu yang tidak berminat dengan sukan itu untuk menyertai kelab sukan berkenaan.”
Surat yang dikeluarkan sekolah itu meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu, contohnya bola sepak dan sepak takraw untuk pelajar lelaki Melayu sahaja, manakala bola keranjang hanya untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina.
Hoki hanya terbuka kepada pelajar yang tinggal di asrama, manakala hanya pelajar perempuan Melayu boleh menyertai kelab bola jaring.
Sukan seperti bola baling, boling, petanque dan badminton bagaimanapun terbuka kepada semua kaum.