Polis Johor kesan skim penipuan kuih raya

Polis Johor kesan skim penipuan kuih raya

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga laporan polis diterima berhubung skim penipuan itu di Kulai.

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penipu menawarkan modal tambahan sebanyak RM1,500 kepada pelabur yang menyertai skim jualan kuih raya itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran kepada orang ramai berhubung skim penipuan pelaburan membabitkan kuih raya di daerah Kulai yang menjanjikan pulangan tinggi.

Beliau dalam kenyataan berkata, penipu menawarkan peluang perniagaan untuk menjual kuih raya dengan bermodalkan RM500.

Katanya, mangsa turut dijanjikan modal tambahan sebanyak RM1,500 dan 1,600 balang kuih raya untuk dipasarkan ke luar negara.

Beliau berkata, mangsa yang terpedaya diarahkan memasukkan wang ke akaun bank peribadi seorang individu yang mendakwa dirinya mewakili program itu.

Ayob Khan berkata, seorang daripada mangsa itu menghadiri pertemuan pada 11 Dis 2020 antara penipu dan mangsa.

Tetapi, katanya, pelabur berpotensi terkejut apabila mereka diarahkan membuat bayaran tambahan untuk membeli peralatan, sesuatu yang tidak pernah dimaklumkan kepada mereka sebelum itu.

Beliau berkata, tiada seorang pun pelabur yang menerima modal tambahan sebanyak RM1,500 yang dijanjikan, menyebabkan mereka membuat laporan polis.

Katanya, kertas siasatan sudah dibuka selepas tiga laporan dibuat di Balai Polis Kulai.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk tampil ke Balai Polis Kulai bagi membantu siasatan.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai, khasnya ketika Ramadan dan perayaan yang akan menjelang tidak lama lagi supaya lebih berhati-hati dengan tawaran perniagaan tidak masuk akal dan mendapat keuntungan berlipat ganda dengan mudah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.