
Jurucakap Suhakam dan dua pertubuhan lain meminta Putrajaya mengecualikan warga Myanmar daripada mematuhi tarikh akhir itu memandangkan kekacauan yang berlaku di negara itu.
Minggu lepas, Jabatan Imigresen berkata, warga asing yang tamat visa lawatan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) mesti meninggalkan negara ini selewat-lewatnya pada 21 April atau berdepan tindakan denda atau ditahan.
Myanmar mengalami kekacauan berikutan rampasan kuasa pada 1 Februari yang menyingkirkan kerajaan awam pimpinan tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi.

Suu Kyi memegang kuasa selama lima tahun dan memasuki penggal kedua pemerintahan berikutan kemenangan besar dalam pilihan raya pada November.
Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata, warga Myanmar di negara ini hidup berdikari sejak bermulanya wabak Covid-19 dan tidak wujud keperluan mendesak untuk menghantar mereka pulang.
“Kerajaan tidak perlu menampung kehidupan mereka.”
Beliau menggesa kerajaan menunjukkan sikap prihatin dan kasihan belas dengan berkata, ia adalah langkah diplomatik yang baik dan bakal membantu warga Mynamar terbabit apabila keadaan selamat buat mereka.
Beliau berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga secara terbuka mengutuk keganasan yang berlaku di negara itu.
“Kita tidak boleh mengutuk kekacauan yang berlaku di satu pihak dan di pihak lain tidak bersedia mendengar keperluan warga Myanmar yang terperangkap antara peralihan kuasa aman dengan keganasan yang berlaku,” katanya.
Debbie Stothard daripada Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa berkata, kerajaan tidak harus memaksa mereka ke dalam keadaan bahaya yang berlaku di Myanmar.

Ia berlawanan dengan undang-undang kemanusiaan antarbangsa, katanya.
Beliau mendakwa setiap orang awam di Myanmar berpotensi dijadikan musuh oleh junta tentera di negara itu.
“Sama ada mereka mendarat di Yangon atau tempat lain di Myanmar, mereka berisiko di tembak mati,” katanya.
“Apakah yang akan kerajaan lakukan jika mereka gagal meninggalkan Malaysia tepat waktu? Hantar mereka pulang ke Myanmar? Ia adalah hukuman mati.”
Laporan berita menyebut pihak junta menggunakan taktik dan serangan di medan perang selain melancarkan serangan udara ke atas orang awam.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pihak tentera melepaskan tembakan pelancar bom tangan, bom tangan dan mortar di bandar Bago hujung minggu lepas.

Lebih 80 orang dilaporkan terbunuh.
John Quinley III dari Fortify Rights yang berpangkalan di Bangkok juga bercakap mengenai percanggahan tindakan memaksa mana-mana orang ke dalam konflik bersenjata dengan sifat kemanusiaan.
Beliau menggesa kerajaan membenarkan warga Myanmar membaharui visa lawatan dan permit kerja mereka, selain memberi perlindungan kepada kumpulan yang berada di negara ini sebagai pelarian.