
Seorang warga asing yang enggan dikenali berkata, semua orang yang ditemuinya bersedia membayar harga visa khas sementara dan vaksin tersebut.
“Saya merayu agar kerajaan membenarkan kami tinggal di sini sehingga vaksin tiba. Kami bersedia membayar harganya. Jika tidak, berikan lanjutan tempoh bagi membolehkan kami bersedia untuk memasuki dunia yang penuh ancaman ini,” katanya kepada FMT.
Katanya beliau mengenali seorang individu yang kembali ke Amerika Syarikat secara tergesa-gesa pada Ogos selepas permohonan lanjutannya ditolak oleh Jabatan Imigresen.
“Beliau tidak sihat berikutan episod perubatan yang dilaluinya baru-baru ini dan membawa surat daripada doktor serta kedutaannya, tetapi tetap diarah pulang.
“Dua hari selepas meninggalkan negara ini, kerajaan mengumumkan ia akan melanjutkan pelepasan visa. Malangnya beliau meninggal dunia di AS selepas itu. Kisah individu ini menghantui fikiran kami sekarang,” katanya.
“Ada juga individu yang menderitai strok dan masalah kesihatan seperti asthma. Mereka ketakutan dan tidak bersedia memulakan perjalanan sebelum menerima vaksin. Kami lebih daripada bersedia untuk membayar kosnya.”
Pada Isnin, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan bahawa warga asing yang tamat pas lawatan sosial semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) hendaklah meninggalkan negara ini selewat-lewatnya pada 2 April.
Bagaimanapun individu yang berdepan masalah untuk kembali ke negara asal mereka susulan sekatan perjalanan Covid-19 boleh memohon pas khas untuk melanjutkan tempoh kehadiran mereka.
Permohonan ini hendaklah disokong dengan dokumen yang mencatatkan alamat di Malaysia dan bukti sumber kewangan mereka.
Kenyataan Khairul mengesahkan laporan FMT pada Ahad bahawa warga asing dari beberapa negara memberitahu bahawa mereka diberi tempoh hingga 2 April untuk meninggalkan negara ini atau mereka akan didenda atau ditahan.
Tarikh akhir itu adalah berdasarkan tempoh pelepasan yang ditetapkan oleh Putrajaya kepada warga asing yang tamat pas lawatan sosial mereka pada 2020.
Dalam e-melnya kepada FMT, ekspatriat berkenaan berkongsi pengalaman peribadi warga asing berhubung kesan tarikh akhir itu ke atas mereka.
“Kenapa Malaysia harus mengarah keluar satu-satunya kumpulan pelancong yang ada di negara ini? Wang kami dibelanjakan terus ke dalam ekonomi tempatan. Kami bantu restoran, pasar dan perniagaan kecil tempatan lain.
“Kami tidak mencuri pekerjaan orang lain, mematuhi peraturan PKP dan sangat bersyukur kerajaan Malaysia membenarkan kami berada di sini dalam suasana yang sangat luar biasa ini.”
Beliau berkata, warga asing yang dihubunginya faham bahawa mereka adalah tetamu dan tidak boleh berada di sini selama-lamanya.
“Kami meminta kerajaan mengeluarkan visa khas sementara bagi membolehkan kami tinggal untuk beberapa bulan lagi. Kami bersedia membayar kosnya. Kerajaan boleh mendaftarkan semua baki pelancong yang ada di negara ini dan mereka yang tidak bersedia membayar kosnya boleh pulang,” katanya.
Seorang lagi warga asing berkata, beliau berterima kasih atau pertimbangan dan keprihatinan kerajaan, namun meragui dakwaan Khairul bahawa pelancong terlibat dengan aktiviti pelacuran, penipuan dan bekerja di kedai urut.
“Pelancong biasanya membayar untuk penginapan, makanan dan sewa kenderaan, utiliti dan keperluan lain. Kami menyediakan sumber pendapatan yang baik kepada Malaysia.
“Pelancong yang diberikan pelepasan visa tidak berniat untuk tidak meninggalkan Malaysia. Ramai yang mahu meninggalkan negara ini, malah ada yang terdesak untuk pulang ke negara asal dan keluarga mereka selepas setahun di sini, tetapi pandemik Covid-19 menyukarkan keadaan,” katanya.
“Kami amat mengharapkan kejelasan dan keprihatinan.”
Pada Isnin, Khairul berkata, Jabatan Imigresen mendapati beberapa kes pelawat menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka untuk bekerja di pusat hiburan dan kedai urut, selain terlibat dalam kegiatan jenayah seperti pelacuran dan penipuan.