
Peniaga air balang, Muhammad Syahmi Badli Ramli, 30, yang masih terkejut dengan berita penutupan bazar itu selama dua minggu berkata, beliau terpaksa mencari alternatif lain dan bercadang untuk menjual nasi lemak di tepi jalan pada waktu malam demi memastikan kelangsungan kehidupannya dan para pekerja.
“Memanglah kecewa sebab ini kali pertama saya berniaga di bazar dan saya telah keluarkan modal RM3,000 untuk berniaga air balang,” kata beliau.
“Lagipun saya telah ambil lima pekerja untuk membantu saya berniaga di bazar sepanjang bulan puasa ini jadi kalau saya tidak berniaga mereka pun hilang pendapatan. Saya masih mencari tapak baharu yang sesuai dan berharap akan dapat segera mula berniaga nasi lemak.”
Bapa kepada seorang anak itu juga berharap penutupan sementara bazar tersebut dijadikan iktibar buat semua pihak, termasuk para pengunjung, supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Selama tiga hari berniaga di bazar yang paling ketara saya lihat adalah pengunjung gagal mematuhi penjarakan fizikal ketika beratur untuk masuk ke dalam bazar, sedangkan kebanyakan kami para peniaga menyewa dua tapak bagi memastikan gerai kami cukup luas dan penjarakan fizikal dapat dipatuhi,” kata beliau.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hari ini mengesahkan Bazar Ramadan Tok Adis dekat Kuala Ibai diarah tutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam tadi hingga 30 April agar penganjur dapat memperkemaskan SOP yang ditetapkan dan memastikan ia dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung.
Sementara itu, seorang peniaga mee sup dan “som tam” yang hanya ingin dikenali sebagai Faridah berkata, beliau terpaksa menanggung kerugian kerana telah mengeluarkan modal RM10,000 bagi membeli stok bekalan bahan masakan dan peralatan jualan.
“Untuk dapatkan RM10,000 itu pun saya terpaksa gadai barang kemas. Selalunya selepas 15 hari berniaga barulah balik modal. Tetapi ini baru sahaja empat hari berniaga jualan pun tidak sampai RM4,000. Tak balik modal lagi.
“Sudah lah tahun lepas tidak boleh berniaga di bazar akibat PKP (perintah kawalan pergerakan). Ingatkan Ramadan tahun ini ingin cari rezeki lebih tetapi apakan daya, kita terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan,” kata beliau yang telah enam tahun berniaga di bazar Ramadan tersebut.
Wanita berusia 42 tahun itu masih buntu dalam menghadapi situasi tersebut dan berharap agar tempoh penutupan bazar itu dipendekkan supaya beliau bersama lebih 70 lagi peniaga yang lain dapat berniaga semula di situ.