Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam Khamis minggu lalu.
“Pengadu memaklumkan dia ditampar tiga lelaki yang tidak dikenali dan kertas siasatan sudah dibuka bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya kepada FMT.
Difahamkan polis ada membuat tangkapan namun Padzli meminta FMT menunggu kenyataan rasmi pihak berkuasa.

Berdasarkan video 53 saat yang dilihat FMT, mangsa dipercayai dikepung dan ditampar kerana mempersendakan seorang individu yang digelar “Abang Vadai”.
Salah seorang remaja itu mengancam akan mencederakan mangsa sekiranya dia bercakap mengenai “Abang Vadai”.
Tiada butiran lain dikongsi polis berhubung kejadian ini.
Seksyen 323 KK berkenaan kesalahan seksaan kerana menyebabkan cedera, manakala Seksyen 506 KK berkenaan kesalahan menakutkan secara jenayah.
Kes ini turut mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, yang sedih dengan serangan ke atas pelajar itu, dan menerusi catatan di Instagram, beliau bertanya: “Siapa ‘vadai’?”