Bagaimana timbalan menteri baharu akan bantu rakyat isi perut kosong, soal Syed Saddiq

Bagaimana timbalan menteri baharu akan bantu rakyat isi perut kosong, soal Syed Saddiq

Kerajaan lebih berfikir survival politiknya, berbanding survival rakyat, kata bekas menteri itu.

PETALING JAYA:
Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hairan bagaimana kerajaan boleh melantik timbalan menteri pelancongan baharu selepas berkata, ia “tidak mempunyai wang”.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih berfikir survival politiknya, berbanding survival rakyat.

“Rakyat tidak dibenarkan melancong, tapi saya hairan bagaimana kerajaan boleh melihat pelantikan seorang timbalan menteri pelancongan akan membantu rakyat mengisi perut yang kosong.

“Tapi kalau untuk rakyat, memang susah dan banyak halangan,” katanya di Facebook.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dijangka menerima seorang timbalan menteri baharu.

Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Koh Hoi dijadual mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri kementerian itu hari ini.

Sebelum ini, jawatan itu disandang oleh presiden parti itu, Jeffrey Kitingan yang meletak jawatan apabila dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, bagi hal politik, kerajaan PN memang mempunyai banyak cara, tetapi untuk rakyat, janji kerajaan untuk memberikan laptop, bantuan e-wallet masih belum tertunai.

“Nak buat mesyuarat di negeri lain, boleh. Nak buat jelajah politik, boleh. Nak ‘tutup’ Parlimen pun boleh.

“Nak mohon bantuan kewangan, kerajaan suruh buka simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri.

“Nak minta moratorium untuk tangguh sebentar bayaran kepada bank, tak lulus-lulus,” katanya.

Beliau berkata, menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN boleh bersyukur kerana mendapat gaji dan jawatan.

“Rakyat pula hilang kerja, tutup kedai, kereta dan rumah kena lelong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.