
Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin, berkata tiga syarikat itu ialah Guancai (M) Sdn Bhd, China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd dan Vizione Development Sdn Bhd.
“Memang ada beberapa pelabur tempatan dan luar negara seperti dari negara China yang menyatakan minat untuk membangunkan projek ini secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI),” katanya dalam kenyataan.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah bagaimanapun meminta syarikat berkenaan agar mengadakan perbincangan dengan lebih terperinci bersama agensi kerajaan yang terlibat, khususnya apabila membabitkan isu pengambilan tanah sebelum cadangan itu dibawa ke Kabinet negeri untuk dibincangkan.
Menurutnya, pembinaan “sky train” akan menjadi tarikan baharu kepada industri pelancongan di Sabah dan pada masa sama menarik lebih banyak pelabur masuk ke negeri itu.
Beliau sebelum ini mengutarakan cadangan pembinaan “sky train” yang akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan ibu negeri serta kawasan sekitarnya.