Isu ketirisan daging import luar bidang kuasa jabatan veterinar

Isu ketirisan daging import luar bidang kuasa jabatan veterinar

Agensi veterinar hanya bertanggungjawab dalam menjalankan audit pemeriksaan rumah sembelih luar negara untuk tujuan kelulusan eksport ke Malaysia.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata.pemeriksaan rumah sembelih di luar negara dijalankan berasaskan kod amalan standard mengikut piawaian antarabangsa. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pengimportan atau kemasukan daging dari sumber negara dan rumah sembelih yang tidak diiktiraf, sama ada menerusi penyeludupan atau ketirisan di pintu masuk negara, adalah di luar bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS dalam satu kenyataan menjelaskan, agensi itu hanya bertanggungjawab dalam menjalankan audit pemeriksaan rumah sembelih luar negara untuk tujuan kelulusan eksport ke Malaysia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Penjelasan DVS itu adalah susulan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa kerajaan perlu memastikan tiga agensi yang mengawal selia urusan pengimportan daging bebas sepenuhnya daripada ‘musuh dalam selimut’ bagi mengelak kegiatan kartel daging import bertapak semula.

Agensi terbabit seperti yang dilaporkan ialah DVS, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut DVS, pemeriksaan rumah sembelih di luar negara dijalankan berasaskan kod amalan standard mengikut piawaian antarabangsa, meliputi piawaian kawalan penyakit haiwan dan zoonotik serta pengoperasian rumah sembelih.

“Kelulusan import daging hanya dibenarkan dari sumber negara dan rumah sembelih yang telah diluluskan dan menepati syarat yang ditetapkan,” kata DVS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.