
Malah, Ahmad, yang juga seorang penganalisis keganasan di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), berkata ancaman kumpulan pelampau agama dilihat lebih membimbangkan ketika ini, semasa umat Islam lain sibuk mengerjakan ibadah.
“Kebanyakan kumpulan ekstremis agama ini percaya bahawa ganjaran mereka di syurga akan lebih besar jika mereka melakukan serangan menjelang atau ketika Ramadhan yang dianggap sebagai bulan suci dalam Islam,” katanya kepada FMT.
Ahmad menyeru perhatian lebih serius ke atas kawalan sempadan terutama di Johor bagi menghalang keluar-masuk orang yang tidak diingini, di sebalik laporan membimbangkan mengenai masalah rasuah membabitkan pihak penguatkuasa undang-undang.

Beliau mengambil contoh kes Mas Selamat Kastari, disyaki pemimpin kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) yang ditahan dan dibawa ke Singapura, yang berjaya melarikan diri dari republik pulau itu ke Johor pada 2009.
Ahmad berkata beberapa kes sebelum ini menunjukkan orang yang direkrut kumpulan militan pergi ke negara jiran menggunakan laluan air di Johor.
“Situasi keselamatan sempadan cukup merisaukan dengan masalah rasuah yang membelenggu. Bukan semua tetapi ada segelintir yang mudah ‘dibeli’, dibayar atau diugut, termasuklah ‘direkrut’ pihak tidak bertanggungjawab.
“Di peringkat polis mungkin tidak ada masalah, tetapi di peringkat kastam dan imigresen? Ini boleh berlaku,” katanya.
Ahmad juga menyeru pemantauan dalam talian dan ke atas kumpulan warga asing di Malaysia supaya fahaman pelampau tidak tersebar.
“Tiga kelompok berpotensi yang perlu diambil serius adalah bekas anggota kumpulan JI yang masih berpegang pada ideologi mereka dan menetap di sini.
“Selain itu, bekas penyokong IS dan orang muda yang tidak tahu apa-apa dan kerap mengabiskan masa melayari internet.
“Mereka semua terdedah kepada naratif ekstremis agama,” katanya.
Beliau merujuk kepada laporan mengenai serangan bom terhadap sebuah gereja di Makassar, Indonesia oleh sepasang suami isteri pada Mac dan tangkapan seorang pemuda yang merancang untuk menikam orang di sebuah saumaah Yahudi di Singapura pada Februari, sebagai bukti ancaman pelampau masih belum terhapus sepenuhnya.