Saya bukan menteri bertanggungjawab ratifikasi ICERD, kata Saifuddin

Saya bukan menteri bertanggungjawab ratifikasi ICERD, kata Saifuddin

Namun, ICERD diakui terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dan pernah diucapkan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Saifuddin berkata keputusan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).dan kemudian membatalkannya telah diputuskan di dalam Jemaah Menteri.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menjelaskan, beliau bukan menteri yang bertanggungjawab meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bagaimanapun beliau mengakui, ICERD terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dan pernah diucapkan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018.

“Meratifikasi International Conventions on Human Rights ada dalam Manifesto PH, dan ada dalam ucapan PM (perdana menteri) di PBB (2018), tapi saya bukan menteri tentang ICERD,” katanya dalam catatan di Twitter rasminya, semalam.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas dakwaan Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook yang mendakwa, idea untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom merupakan idea Saifuddin dan bukannya idea DAP.

Pada 23 Nov 2018, Saifuddin yang merupakan Menteri Luar ketika itu dipetik sebagai berkata, keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Mengulas mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Saifuddin berkata keputusan meratifikasi dan kemudian membatalkannya telah diputuskan di dalam Jemaah Menteri.

“Kedua-dua keputusan tentang meratifikasi dan lepas itu membatalkan Rom Statut, dibuat di Jemaah Menteri dan saya menteri bertanggungjawab,” katanya.

Pada 5 April 2019, Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.

Tun Mahathir berkata Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac 2019, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun.

Setiausaha Agung PBB, bertindak atas kapasitinya sebagai depositori, memaklumkan penarikan diri Malaysia dari instrumen itu berkuat kuasa pada 29 April 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.