PH tak selesai 17 isu MA63, kata Ongkili

PH tak selesai 17 isu MA63, kata Ongkili

Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus Ongkili berkata, Pakatan Harapan hanya menyatakan komitmen tetapi tidak melaksanakannya.

Ongkili berkata, kerajaan PN akan menyelesaikan komitmen berkenaan, bermula dengan pemulangan rasmi Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Sabah.
KOTA KINABALU:
Seorang menteri persekutuan menolak dakwaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bahawa ia sudah menyelesaikan 17 daripada 21 isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus Ongkili, berkata dakwaan itu “tidak benar.”

Katanya, Majlis Khas MA63 (MKMA63) diwujudkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mendapati kebanyakan yang didakwa PH sebagai resolusi sebenarnya sekadar “penyataan komitmen.”

“Mereka (PH) mendakwa daripada 21 isu dibangkitkan, 17 telah diselesaikan. Sebenarnya ini tidak benar. Tiada keputusan muktamad kecuali sekurang-kurangnya dua atau empat isu di Sabah termasuk perhutanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, komitmen diberikan berhubung isu berkenaan tetapi tiada dasar, undang-undang atau peraturan dilaksanakan berhubungnya.

Ongkili berkata, kerajaan PN akan menyelesaikan komitmen berkenaan, bermula dengan pemulangan rasmi Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Sabah.

Satu lagi komitmen melibatkan pemulangan kawalan dan pengurusan penuh pengagihan gas kepada Sarawak.

Ongkili yang mengetuai sekretariat MKMA63 berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat dua jam yang turut melibatkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan rakan sejawatnya dari Sarawak, Abang Johari Openg.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Hajiji berkata kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tegas mahukan penyelesaian semua isu bawah MA63.

Katanya, GRS mengekalkan pendiriannya bahawa semua isu atau tuntutan bawah perjanjian itu mesti dipenuhi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.