Lebih 100 kuil, tokong haram di KL, kata timbalan menteri

Lebih 100 kuil, tokong haram di KL, kata timbalan menteri

Santhara Kumar berkata, daripada jumlah itu sebanyak lapan kes berjaya diselesaikan dengan kuil dan tokong yang terlibat diberikan surat tawaran pendudukan secara sah.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar, berkata kes yang diselesaikan diberi surat tawaran pendudukan secara sah, selain selebihnya ditawarkan tapak ganti yang dirizabkan sebagai tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 115 kuil dan tokong di ibu kota dikenal pasti didirikan di atas tanah kerajaan secara tidak sah, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes berjaya diselesaikan dengan kuil dan tokong yang terlibat diberikan surat tawaran pendudukan secara sah, manakala selebihnya ada ditawarkan tapak ganti yang dirizabkan sebagai tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

“Daripada baki 107 yang ada, sebanyak 56 dikenal pasti sebagai RIBI dan memerlukan tindakan segera, iaitu berpindah kerana kawasan sebelum ini akan dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran tapak ganti yang akan dirizabkan sebagai tapak RIBI.

Sebagai usaha mengatasi semua permasalahan itu, Santhara berkata kementerian melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP), mengambil pendekatan mewujudkan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RIBI (MJE RIBI) pada Ogos lalu, dengan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

MJE itu, katanya turut disertai oleh wakil setiap persatuan agama bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan isu RIBI, selain mencari penyelesaian terhadap isu pendudukan tidak sah.

Santhara berkata, sepanjang menguruskan permasalahan itu antara cabaran yang diterima termasuk tidak mendapat kerjasama baik daripada pemilik tanah, pengurusan kuil serta tokong, selain fakta yang tidak tepat sekali gus melambatkan isu itu dibawa kepada MJE RIBI.

Pada masa sama, beliau turut berharap semua persatuan agama lebih peka terhadap penubuhan rumah ibadat, terutama di atas tanah kerajaan dan meminta mereka memohon kebenaran merancang terlebih dahulu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita sentiasa menyokong usaha untuk mengekalkan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.