Kontraktor landasan berkembar dibenar cabar penamatan kontrak

Kontraktor landasan berkembar dibenar cabar penamatan kontrak

Permohonan Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd untuk semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menamatkan kontrak KVDT2 dibenarkan.

Wee Ka Siong mengumumkan kontrak projek pemulihan KVDT2 akan ditamatkan dan ditukar menjadi tender terbuka.
KUALA LUMPUR:
Kontraktor projek Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa Dua (KVDT2) dibenar untuk mencabar keputusan kerajaan Perikatan Nasional menamatkan kontrak mereka menguruskan landasan berkembar tersebut.

Peguam Lim Chee Wee, yang mewakili Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Noorin Badaruddin, membenarkan permohonan mereka untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

“Beliau (Noorin) juga membenarkan keputusan kerajaan untuk mengeluarkan tender terbuka digantung, sementara menunggu semakan kehakiman selesai,” katanya.

Syarikat itu meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong membatalkan kontrak KVDT2 mereka, dan juga membuka semula tender, adalah tidak sah.

Dhaya Maju LTAT juga mahu mahkamah membatalkan keputusan tersebut dan memaksa kerajaan untuk melaksanakan semua dokumen dan perjanjian.

Terdahulu, Lim beritahu mahkamah bahawa semakan kehakiman itu menekankan hal berkaitan misfeasans ketika memegang jawatan awam, dan pihak yang menanggung kerugian berhak mencabarnya.

“Misfeasans oleh menteri (Wee) adalah dalam konteks membuat keputusan berkaitan dengan keputusan yang dipersoalkan itu. (Ia juga mengenai) kegagalannya untuk mempertimbangkan banyak faktor serta kebergantungannya yang tidak masuk akal kepada laporan Opus,” katanya, merujuk kepada penilaian projek profesional oleh syarikat perunding, Opus Consultants.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili Wee dan kerajaan, berkata tort misfeasans yang didakwa oleh Dhaya Maju LTAT dalam pertikaian kontrak ini tidak sesuai untuk diadili melalui semakan kehakiman.

“Jelas sekali keputusan (menteri) itu merupakan keputusan kontraktual yang diperuntukkan dalam kontrak itu,” katanya.

Selain mencabar keputusan itu, Dhaya Maju LTAT juga memfailkan dua tuntutan saman terhadap kerajaan, mendakwa pembatalan itu tidak sah.

Mereka mendakwa Wee mempunyai niat “tersembunyi dan tidak wajar” untuk membatalkan kontrak mereka, dan menteri dikatakan meminta mereka subkontrak kerja itu kepada sebuah “syarikat China”.

Dakwaan yang dikatakan itu sebelum ini dibangkitkan bekas Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook di Dewan Rakyat tahun lalu.

Tahun lalu, Wee mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk menukar projek pemulihan KVDT2 menjadi tender terbuka dan untuk membatalkan kontrak yang dirundingkan secara terus selepas mendapati projek tersebut menelan belanja lebih rendah daripada jumlah yang dinyatakan sebelumnya.

KVDT2 satu daripada 101 projek, yang membabitkan sejumlah RM6.61 bilion, yang menurut kerajaan PN diberikan secara rundingan terus bawah pengawasan pentadbiran Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.